Sabtu, 18 April 2009

Guru merusuh sakit mental

KOTA BHARU 17 April - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menjelaskan guru yang ditahan ketika rusuhan penonton di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, 7 April lalu menghidap masalah mental.

Pengarahnya, Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, berdasarkan maklumat awal, guru berusia 31 tahun itu pernah menerima rawatan mental beberapa kali sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu laporan perubatan guru terbabit sebelum sebarang tindakan diambil.

''Guru ini baru bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong kira-kira empat bulan lalu selepas ditukarkan dari SK Chetok, Pasir Mas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pihak polis menahan guru terbabit bersama dua pelajar ketika rusuhan penonton kira-kira pukul 10.55 malam selepas pasukan Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan 0-1 pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di stadium tersebut.

Hasil pemeriksaan terhadap guru terbabit, polis menemui tujuh tujuh biji mercun bola di dalam poket seluarnya.

Bagaimanapun, guru berkenaan telah dibebaskan selepas ditahan reman selama dua hari.

Utusan Malaysia Online: 18 April 2009

Tiada ulasan: