Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata garis panduan jelas perlu disediakan bagi memastikan kebenaran tidak disalah guna.
Peraturan itu katanya, perlu dilaksana dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan pemimpin masyarakat.
Beliau berkata, usul itu dicadangkan kerana yakin guru mempunyai kemahiran serta bakat kepimpinan dan pengurusan yang tinggi.
“Keistimewaan ini boleh dioptimumkan dalam memperkasakan politik tanah air, selain melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik.
“Malah tugas sebagai pendidik di sekolah berjaya mengasah bakat guru menjadi pemimpin di peringkat yang lebih besar dengan menyatupadukan masyarakat. Jika tidak dibenar berpolitik sekali pun, fungsi guru sebagai pemimpin di sesuatu kawasan memang tidak disangkal.
“Selain berwibawa sebagai pendidik, guru juga mempunyai kebolehan mengetuai program kemasyarakatan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Guru juga kata Mohamad Ali, berhak mengembangkan bakat dimiliki dan mahu dicalonkan sebagai pemimpin, selain membentuk anak bangsa, kebolehan mereka boleh dioptimumkan sepenuhnya dalam menjana generasi pemimpin pelapis.
Beliau berkata, PIBGN mengharapkan, jika kebenaran diberi mereka perlu melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya dan tidak mencampuradukkan tugas hakiki mengajar dengan menyebarkan fahaman politik kepada pelajar.
Mereka juga seperti manusia biasa bersemangat untuk memimpin di peringkat lebih tinggi, selain mengembangkan kemahiran serta kebolehan menerajui sesuatu organisasi dengan menjadikan politik sebagai landasan tepat.
Mengulas profesion perguruan itu sendiri, Mohamad Ali berkata, golongan profesional ini perlu diberi peluang mengembangkan kemahiran pengurusan masing-masing mentadbir sebuah organisasi yang lebih besar.
Beliau berkata, dia yakin guru daripada Kumpulan A ini mampu membahagikan masa dengan sebaik mungkin ketika melaksanakan tugas hakiki sebagai pendidik dan memegang jawatan penting dalam masyarakat.
Mengimbau pembabitan guru dalam politik, katanya senario ini dapat dilihat sejak negara berada pada era kemerdekaan dan perjuangannya diteruskan hingga negara mencapai kejayaan serta ramai daripada wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya adalah bekas guru.
“Kini hanya guru daripada kumpulan bukan siswazah saja dibenar aktif dalam politik dan jika hanya golongan ini diberi peluang, bakat serta kebolehan guru kumpulan A terpendam begitu saja.
“Senario ini tidak sihat kerana kebenaran yang diberikan tidak menyeluruh dan dibimbangi golongan yang dibenar menggunakan taktik negatif termasuk mengamalkan politik wang dalam usaha meraih pengaruh. Keadaan menjadi lebih parah kerana membabitkan kebendaan dalam memperoleh kuasa,” katanya.
Berita Harian Online: 13 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan