Rabu, 22 April 2009

Segera daftarkan SAR Johor sebagai SABK

SAYA salah seorang kakitangan sekolah agama rakyat (SAR) di Johor ingin menarik perhatian pihak-pihak yang berwajib supaya mempercepatkan tarikh pendaftaran SAR Johor sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK). Janji-janji pihak berwajib antaranya oleh Exco Agama negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman dan Jabatan Agama Johor (JAJ) dalam taklimat 'Memperkasakan Sekolah Agama Rakyat' pada 30 November 2008 amat dituntut pelaksanaannya.

Menurut taklimat itu, pendaftaran akan dibuat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh taklimat. Tapi hingga kini sudah masuk lima bulan tiada khabar mengenai tarikh pelaksanaan pendaftaran tersebut.

Jika diimbas kembali isu pendaftaran SAR Johor sebagai SABK ini telah pun diperkatakan sejak tahun 2005. JAJ telah menguar-uarkan akan mendaftarkan SAR sebagai SABK. Isu ini telah pun beberapa kali disuarakan melalui akhbar. Namun usaha ke arah pendaftaran tersebut masih tidak menampakkan hasil. Tidak seperti negeri-negeri lain yang telah pun terbela nasib guru-guru dan kakitangannya setelah didaftar sebagai SABK walaupun tidak heboh sedemikian lama.

Sebagaimana berlaku sejak beberapa tahun yang lepas, pada tahun ini kedengaran lagi melalui beberapa sumber mengatakan bahawa pendaftaran tersebut akan dilakukan pada tahun ini. Setiap tahun kedengaran ayat yang sama 'pendaftaran pada tahun ini' sehingga kakitangan SAR Johor sudah naik jemu mendengarnya. Saya rasa semua kakitangan SAR Johor tidak lagi mahu mendengar ayat yang sama diulangi. Apa yang kami mahukan ialah tarikh berlangsungnya pendaftaran tersebut yang sehingga kini masih belum diketahui.

Oleh itu saya merayu Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, pihak Exco Agama dan Jabatan Agama Islam Johor supaya dapat menyegerakan dan menetapkan tarikh pelaksanaan pendaftaran SAR Johor sebagai SABK. SAR Johor sangat dahagakan pembelaan lebih-lebih lagi di saat krisis ekonomi global yang tempiasnya sangat dirasai oleh kakitangan SAR yang bergaji kecil. Siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan mempertahankan SAR yang menjadi benteng penangkis merebaknya gejala sosial dan penyakit masyarakat sekiranya semakin ramai guru meninggalkan SAR mencari pekerjaan lain yang lebih terjamin?

PERAYU SAR,

Johor.

Utusan Malaysia Online: 22 April 2009

Tiada ulasan: