Sabtu, 25 April 2009

Pelajar tidak terkecuali - Musa

JOHOR BAHRU 24 April - Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk pelajar yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur hasutan dan perkauman di negeri ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana tindakan menyebar SMS itu boleh membangkitkan kegelisahan di kalangan orang ramai sekali gus menimbulkan masalah perkauman yang serius.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila membabitkan masalah disiplin anak-anak mereka di sekolah.

"Dalam kes di Pontian ini, ia melibatkan isu pelajar yang tidak berdisiplin selain campur tangan ibu bapa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Hari ini, ibu bapa terlebih sayang anak-anak mereka hingga tidak boleh lagi didisiplinkan oleh guru di sekolah. Saya rasa cara ini salah.

"Kita sepatutnya membiarkan guru mendisiplinkan anak-anak kita. Disiplin tidak bermaksud guru boleh melakukan apa sahaja cara tetapi menerusi pendekatan yang boleh diterima oleh ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengarah-Pengarah Logistik PDRM, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Musa mengulas penahanan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dipercayai kerana menghantar SMS berbaur perkauman berhubung satu kes pukul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Nanas, Pontian, Isnin lalu.

Pelajar terbabit yang menuntut di sekolah berlainan di pekan itu ditahan ketika menyerah diri sambil diiringi bapanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada pukul 12 tengah hari ini.

Selasa lalu, seorang lelaki berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Pekan Nanas selepas menerima SMS berbaur perkauman tersebut sehari sebelum itu.

Antara isi kandungan SMS tersebut menjurus kepada rasa tidak selamat berhubung kejadian pukul berkenaan sehingga boleh menimbulkan rasa ketegangan kaum.

Bagaimanapun, lelaki tersebut yang kemudiannya menyedari SMS tersebut dihantar oleh anaknya sendiri kemudiannya membawa anaknya itu ke IPD Pontian hari ini sebelum pelajar perempuan tersebut ditahan.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang boleh membawa hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, polis berjaya menahan dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang sebelum ini menghilangkan diri di sekitar Pontian berhubung kes pukul itu.

Katanya, susulan penahanan terbaru itu, polis kini masih mengesan seorang lagi lelaki berhubung kes tersebut.

Semalam, seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pontian atas empat pertuduhan berbeza termasuk menceroboh kawasan sekolah dan mencederakan dua pelajar serta seorang guru.

Ker Pyad Earnn, 36, didakwa melakukan perbuatan itu bersama tiga lagi rakannya yang masih bebas pukul 1.40 petang Isnin lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Nanas di sini.

Pada Isnin lalu, Balai Polis Pekan Nanas di Pontian kecoh apabila orang ramai berkumpul di pekarangan balai kerana tidak berpuas hati dengan satu kejadian pukul melibatkan seorang guru di sebuah sekolah menengah.

Kejadian itu dipercayai rentetan daripada satu kes pukul berasingan melibatkan pelajar sekolah tersebut pada Jumaat lalu.

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2009

Tiada ulasan: