Rabu, 15 April 2009

Timur: Kes guru langgar integriti kecil

Oleh Ramli Ibrahim
bhkb@bharian.com.my

Amalan tak sihat wajar dijauhi agar profesion pendidik dihormati

GUA MUSANG: Institut Integriti Malaysia (IIM) menyifatkan kes guru melanggar integriti perguruan masih terlalu kecil dan boleh diperbaiki bagi meningkatkan kerjaya mereka ke arah yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

Namun, Pengarah Sektor Awam IIM, Mohammad Diah Wahari, mengingatkan kira-kira 400,000 warga pendidik di seluruh negara supaya menjauhi amalan tidak sihat hingga boleh menjejaskan tumpuan mereka terhadap tugasan dan tanggungjawab sebagai pendidik.

Beliau mengakui, memang ada di kalangan guru yang melanggar integriti termasuk ponteng kelas, lewat menjalankan tugas dan menjalankan kerja lain ketika waktu pejabat, namun kes seumpama itu dianggap terpencil.

“Walaupun bilangannya sedikit, namun kita tidak boleh memandang rendah dan perlu mengambil perhatian bagi menjaga imej warga pendidik dan jabatan pelajaran,” katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas perasmian Seminar Integriti Warga Pendidik Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Gua Musang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Satu (SMKTIP-1) di sini, kelmarin.

Seminar itu dirasmikan Pegawai Pelajaran Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman, dan dihadiri 300 peserta yang terdiri daripada guru, guru besar, pengetua dan guru Kaunseling semua sekolah rendah dan menengah daerah itu.

Mohammad Diah berkata, guru yang menghadapi masalah integriti perlu ditangani segera dengan meningkatkan kefahaman dan menyampaikan pula maklumat berkenaan kepada pelajar supaya mereka juga lebih berdisiplin.

Katanya, warga pendidik yang dianggap ramai itu perlu menjadikan contoh kepada pelajar dalam membaiki tahap disiplin dan kecemerlangan dalam pendidikan.

Beliau bersetuju supaya hukuman rotan dikaji semula untuk dilaksanakan semula di negara ini kerana hukum berkenaan amat berkesan bagi menghindari pelajar melakukan perbuatan yang melanggar disiplin.

“Kita bersetuju jika dilaksanakan semula hukuman rotan tetapi kita tidak mahu guru mengambil tindakan secara emosi hingga boleh menimbulkan kecurigaan di kalangan ibu bapa dan berdepan pula dengan masalah lain.

“Cuma yang kita fikirkan sekarang ini kaedah pelaksanaan secara betul tanpa dipengaruhi elemen penyalahgunaan kuasa yang dibenarkan,” katanya.

Katanya, adalah perlu bagi setiap guru menyampaikan mesej yang tepat berhubung integriti kepada pelajar di sekolah masing-masing supaya mereka dapat memahaminya dan belajar daripada apa kesilapan dilakukan sebelum ini.

Berita Harian Online: 15 April 2009

Tiada ulasan: