Rabu, 15 April 2009

Sekolah Terbilang: Menjana kecemerlangan

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


PELAJAR SMKDH diberi dorongan memperbaiki pencapaian diri bagi mengubah nasib keluarga.

SMKDH lancar DNA babitkan guru, ibu bapa bagi tingkat pembangunan disiplin, akademik pelajar

TIDAK dapat dinafikan disiplin membantu menyerlah potensi, kebolehan dan bakat pelajar, sekali gus menjana kecemerlangan akademik serta sahsiah warga sekolah secara keseluruhan.

Atas dasar inilah Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Harun (SMKDH), Tanjong Karang, Selangor melancarkan program Disiplin dan Akademik (DNA) awal tahun ini dengan menggembleng usaha guru dan ibu bapa secara kolektif.

Pengetuanya, Ruslan Bustani, berkata menerusi program itu, kira-kira 1,700 pelajar di sekolah berkenaan diwajibkan menyertai pelbagai program berkaitan pembangunan disiplin dan akademik supaya mereka dapat menjana perubahan positif menerusi pendidikan.

Bagi pembangunan disiplin, katanya, kempen sifar ponteng, merokok dan antivandalisme antara kegiatan diberi keutamaan yang turut mendapat kerjasama pihak luar dalam menjalankan ceramah berkaitan isu terbabit.

Lebih bermakna, katanya, apabila pembabitan ibu bapa secara aktif menerusi kegiatan Temu Mesra Profesional untuk berbincang mengenai perkembangan tahap disiplin dan akademik anak mereka.

Ruslan Bustani

Beliau berkata, walaupun baru tiga bulan dilaksanakan, program itu amat positif apabila kadar masalah disiplin sekolah berjaya dikurangkan sebanyak empat peratus.

“Sebagai sekolah luar bandar, kami tidak terlepas daripada masalah disiplin terutama ponteng kerana lokasi sekolah berhampiran pekan membuatkan pelajar cenderung menghabiskan masa di kafe siber.

“Namun, dengan komitmen ibu bapa yang prihatin perkembangan semasa anak mereka serta tindakan pantas guru memaklumkan keluarga pelajar melakukan kesalahan, kes melanggar disiplin semakin berkurangan.

“Hal ini membuktikan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada sekolah sebaliknya menuntut komitmen ibu bapa dan pelbagai pihak berkaitan seperti polis,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, baru-baru ini.


Seiring program DNA, katanya, kecemerlangan akademik pelajar dipertingkat menerusi program Sayangi Panitia, tuisyen secara percuma serta seminar peperiksaan dengan kerjasama pejabat pelajaran daerah serta Unit Pendidikan Berita Harian.

“Pelaksanaan program Sayangi Panitia mencetuskan persaingan sihat di antara panitia bagi memperbanyakkan kegiatan meningkatkan pencapaian pelajar dalam setiap mata pelajaran

“Guru digalakkan memberi latihan dan tugasan yang banyak kerana tahap sosioekonomi pelajar yang rendah menyebabkan mereka tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu diyakini mampu memastikan pencapaian pelajar sekolah berkenaan dalam peperiksaan awam kekal cemerlang dan menjadi contoh di daerah Kuala Selangor.

Secara purata, katanya setiap tahun, lebih 70 peratus pelajar SMKDH lulus peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, 95 peratus Sijil Pelajaran Malaysia dan pernah menerima Anugerah Sekolah Terbaik Luar Bandar bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada 2005.

Mengulas pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum pula, katanya, Kumpulan Nasyid Syarfan terkenal di daerah Kuala Selangor kerana kejayaannya mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut dalam Pertandingan Nasyid Daerah Kuala Selangor sejak 2003 hingga 2005, selain mewakili negeri itu dalam pertandingan Seni Jauhi Dadah peringkat kebangsaan pada 2004 dan 2005.




Berita Harian Online: 15 April 2009

Tiada ulasan: