Rabu, 8 April 2009

Sekolah Terbilang: Mengharungi cabaran

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


SMK La Salle yang menyambut jubli emasnya tahun ini melahirkan ramai pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikkulum.

Usaha keras SMK La Salle Petaling Jaya muncul antara sekolah terbaik di Selangor

MENJANGKAU sambutan jubli emas tahun ini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle Petaling Jaya (PJ) mengharungi pelbagai cabaran sebelum muncul antara sekolah terbaik di Selangor.

Antara masalah dihadapi seawal penubuhannya adalah mendapatkan tapak untuk membina sekolah itu sehingga pelajarnya terpaksa ditumpangkan di SMK La Salle Brickfields, Kuala Lumpur sejak 1959 hingga 1962. Namun, dengan usaha keras pengetuanya ketika itu Brother Lawrence Spitzig, sekolah berkenaan akhirnya berjaya dibangunkan.

Seperti institusi bantuan modal lain, sekolah itu mengumpul dana pembangunan fizikal sendiri sumbangan pelbagai sumber seperti syarikat swasta, orang perseorangan atau korporat bagi menambahbaik dan menyelenggara kemudahannya.

Sempena sambutan 50 tahun sekolah itu baru-baru ini, beberapa upacara simbolik diadakan termasuk menanam ‘kapsul masa’ oleh Spitzig dan pelepasan belon bersama kain rentang tertulis ‘50 Tahun Pendidikan La Salle’ yang disempurnakan bekas pengetuanya Brother Felix J Donohue. Kapsul berkenaan hanya akan dibuka pada 2059.

Acara terbabit amat bermakna semua warga SMK La Salle kerana ia bakal menjadi catatan sejarah pelajar yang akan mendapat pendidikan di sekolah itu.

Indrani Vasuthevan

Bermula hanya enam bilik darjah pada 1959, SMK La Salle PJ menjalani pengubahsuaian bangunan besar-besaran pada 1982 dan kini sekolah itu mempunyai 49 kelas, sekali gus mampu menempatkan 1,356 pelajar tingkatan satu hingga enam.

Dengan moto ‘Sapienta Et Caritas’ bermaksud keprihatinan dan kebijaksanaan, SMK La Salle PJ mengekalkan tradisinya mengumpul dana menerusi pelbagai kegiatan termasuk Pesta Ria, Walkathon, Malam Mesra, Malam Dermaria, Pesta La Salle, Jogathon, Jamuan Amal, Malam Sumbangsih dan Hari Kantin yang bakal berlangsung 19 April ini.

Pengetuanya, Indrani Vasuthevan, berkata Hari Kantin itu terbuka kepada orang ramai dan pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf perpustakaan, kemudahan sukan serta kantin.

Katanya, Persatuan Ibu bapa dan Guru serta Persatuan Murid Tua La Salle turut aktif menjayakan kempen kutipan dana untuk mencapai sasaran ditetapkan.

“Kegiatan itu menjadikan pelajar kami lebih mahir dalam menganjurkan aktiviti serta dalam masa sama dapat menambah keyakinan diri mereka serta meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan dan daya kreatif penganjuran sesuatu acara.

“Selain pembangunan infrastruktur, pihak pentadbiran menekankan kecemerlangan akademik dan kokurikulum yang seimbang bagi menghasilkan modal insan berdaya saing selepas tamat persekolahan.

“Bagi keputusan Penilaian Menegah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) walaupun sekolah ini menunjukkan trend turun naik, namun kami berjaya mengekalkan purata kelulusan 90 ke 100 peratus sejak lima tahun lalu bagi ketiga-tiga peperiksaan awam itu,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Keputusan peperiksaan itu tahun lalu, majoriti mata pelajaran teras untuk PMR, SPM dan STPM menunjukkan peratus kelulusan konsisten iaitu masing-masing 80, 89.4 dan 91.5 peratus.

Indrani berkata, pada Hari Anugerah Bestari sekolahnya bulan lalu, beliau menyampaikan anugerah cemerlang kepada 24 calon PMR yang memperoleh 7A dan 8A, 36 calon SPM yang memperoleh 9A dan 10A serta empat STPM yang mendapat 4A dan 5A.

Bagi pencapaian kokurikulum pula, katanya, tahun lalu pelajarnya berjaya merangkul juara merentas desa kategori Bawah 15 peringkat negeri, Choral Speaking (johan peringkat negeri) dan seorang daripada ahli Persatuan Pengakapnya berjaya mewakili Selangor di Perkhemahan Peringkat Kebangsaan di Bukit Mertajam.

Antara pemimpin politik yang mendapat pendidikan di sekolah mubaligh itu termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Berita Harian Online: 8 April 2009

Tiada ulasan: