Khamis, 30 April 2009

Struktur gaji pengetua, penolong kanan perlu disemak

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my


Penstrukturan gaji pengetua dan penolong kanan perlu mengambil kira sumbangan mereka mengurus kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah seluruh negara. - Foto Supian Ahmad

Pendapatan pegawai pengurusan sekolah masih rendah berbanding gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP

PERKHIDMATAN lebih lima tahun Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kementerian Pelajaran meninggalkan nota gembira untuk sebahagian besar guru, khususnya memberi kenaikan pangkat atau gred jawatan lebih tinggi menerusi penstrukturan semula kementerian berkenaan.

Antaranya elaun kritikal dikembalikan semula, guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah menerima kenaikan satu tangga gaji ke DG41 selepas mendapat ijazah dan guru DG41 yang mengajar di Tingkatan Enam selama tiga tahun dinaikkan ke DG44.

Namun, di sebalik keriangan itu, penstrukturan semula berkenaan terlepas pandang terhadap pegawai pengurusan sekolah kerana mereka tidak menerima sebarang tempias.

Pengetua dan penolong kanan yang menjadi penggerak utama untuk menjayakan semua dasar, wawasan dan strategi Kementerian Pelajaran 'agak tersepit' dari segi gred jawatan selepas penstrukturan berkenaan.

Perbincangan penulis dengan beberapa pengetua dan penolong kanan menunjukkan sejak 2000 hingga sekarang, pengisian jawatan pengetua baru dan penolong kanan sekolah menengah bukan lagi proses kenaikan pangkat.

Hampir semua pengetua yang dilantik selepas tahun berkenaan adalah daripada kalangan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) gred DG48 Khas Untuk Penyandang (KUP).

Ironinya, pengetua yang dilantik rata-rata adalah PPPS yang sudah dinaikkan gred ke DG48 secara KUP, walaupun gred jawatan pengetua adalah DG48 secara hakiki.

Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran, satu-satunya jabatan yang dimonopoli sepenuhnya kumpulan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mengurus proses kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan, hanya perlu menukar status DG48 (KUP) kepada DG48 (Hakiki) ketika melantik PPPS menjadi pengetua.

Selesai proses itu, pegawai berkenaan mendapat elaun pengetua sebanyak RM150 sebulan. Tangga gaji dan elaun lain kekal seperti ketika mereka menyandang jawatan guru DG48 KUP. Lebih malang, pengetua baru yang dilantik di sekolah yang ada kemudahan kuarters pengetua, elaun rumah mereka dipotong separuh kepada RM350 kerana pengetua diwajibkan tinggal di kuarters.

Elaun Cola juga turut berkurangan separuh mengikut kategori tempat bertugas. Kementerian Pelajaran dapat menjimatkan kos jika kenaikan pangkat pengetua diteruskan dengan kaedah sekarang seperti yang ditetapkan oleh PTD.

Namun, kesannya ialah ramai calon pengetua yang berkelayakan dan berwibawa menolak tawaran dilantik sebagai pengetua hingga sanggup bertugas sebagai penolong kanan atau guru biasa hingga pencen.

Rasionalnya, mereka tidak mahu memikul beban tugas pentadbiran yang berat sedangkan faedahnya tidak setimpal, malah imbuhan kewangan semakin susut.

Ini bertentangan dengan amalan Jabatan Perkhidmatan Awam atau agensi kerajaan lain bahawa penentuan kadar gaji pegawai berpegang kepada prinsip semakin berat beban tugas dan tanggungjawab, semakin tinggi kadar upahnya.

Pengetua DG48 sudah tentu 'segan-segan' kerana di sekolah utama, biasanya ada seorang hingga lebih 10 guru DG48 KUP, guru biasa yang sama gred jawatan dengannya. Pengetua ini akan diaibkan (secara sengaja atau sebaliknya) jika ada guru sekolahnya dalam gred khas Guru Cemerlang DG52 KUP, DG54 KUP atau Gred Khas Jusa C (KUP).

Dengan itu, ramai yang menolak dilantik pengetua dan berlaku amalan tangkap muat untuk mengisi kekosongan jawatan, iaitu mencalonkan mana-mana guru DG48 (KUP) yang berminat tetapi kurang berkualiti untuk mengisi jawatan pengetua baru.

Berikutan amalan tidak sihat itu, dalam sesetengah kes, masih ada pengetua yang dilantik masih menyandang DG44. Ini akan menjejaskan mutu perkhidmatan pendidikan untuk pelajar kerana pengurusan sekolah diserahkan kepada pemimpin yang kurang berwibawa.

Secara ringkas, pelantikan pengetua bukanlah proses kenaikan pangkat, bahkan mereka 'didera' untuk kekal lama dalam satu tangga gaji. Ini disebabkan, PPPS perlu melalui tempoh perkhidmatan minimum sehingga 20 tahun sebelum menyandang gred DG48 KUP (10 tahun berada di gred DG44 dan 10 tahun DG44).

Berbanding dengan perkhidmatan lain seperti PTD yang hanya memerlukan tempoh tiga tahun berkhidmat dalam gred M41 sebelum dinaikkan ke gred M44 dan dua hingga tiga tahun berikutnya untuk dinaikkan ke gred M48 (keseluruhannya enam tahun saja).

Penolong kanan juga hampir sama keadaannya dengan pengetua dari segi gred jawatan.

Di sekolah menengah, biasanya ada tiga orang penolong kanan, iaitu penolong kanan pentadbiran dan akademik (DG44), penolong kanan hal ehwal murid (DG44) dan penolong kanan kokurikulum (DG41).

Penolong kanan adalah pegawai yang paling penting di sekolah dalam menggerakkan pentadbiran sekolah dari aspek pengurusan, akademik, pengurusan hal ehwal murid, mahupun aktiviti kokurikulum. Seperti juga perjawatan pengetua, gred jawatan penolong kanan setara dengan guru biasa, iaitu DG44.

Malah, sebelum menjawat jawatan penolong kanan, PPPS dari segi amalannya akan mendapat gred DG44 KUP terlebih dulu selepas berkhidmat melebihi 10 tahun dan lulus Penilaian Tahap Kecekapan. Jika dibandingkan dengan guru mata pelajaran yang mengajar Tingkatan Enam, ternyata gred jawatan penolong kanan sangat rendah.

Guru Tingkatan Enam hanya perlu tiga tahun berada di Gred DG41 dan tiga tahun pengalaman mengajar subjek Tingkatan Enam sebelum dinaikkan pangkat ke gred ke DG44. Penolong kanan perlu melalui tempoh perkhidmatan 10 tahun sebelum dilantik sebagai pentadbir sekolah.

Dari segi bebanan kerja, biasanya penolong kanan terpaksa pulang lewat petang untuk menyiapkan tugas pentadbiran, sedangkan guru Tingkatan Enam boleh pulang selewat-lewatnya 3 petang selepas selesai waktu persekolahan.

Mengikut amalan Kementerian Pelajaran sekarang, seseorang penolong kanan hanya akan dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua selepas mendapat gred DG48 KUP ketika memegang jawatan penolong kanan dengan gred sama DG48 dengan ditambah perkataan 'hakiki' saja.

Ini juga bermakna tiada kenaikan pangkat untuk guru DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan. Penolong kanan adalah penggerak kepada sekolah kerana mereka akan melaksanakan arahan pengetua, menjalankan tugas pengetua ketika ketiadaannya, mewakili pengetua ke mesyuarat atau majlis rasmi, merancang dan melaksanakan program akademik, mengurus kewangan dan stok sekolah, mengurus hal ehwal akademik, hal ehwal murid, kokurikulum, asrama, perancangan prasarana dan sumber manusia, mengajar sebilangan waktu yang ditetapkan dan pelbagai tugas yang semakin bertambah saban hari.

Memetik kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan selepas mengangkat sumpah jawatan pada 3 April lalu:

"Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi pendidik, meningkatkan kualiti hidup perwira tanah air, mahupun dalam memperkasa ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global."

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran yang baru sudah tentu mempunyai formula membetulkan nasib pengetua dan penolong kanan daripada terus diaibkan dalam keadaan sekarang.

Berita Harian Online: 30 April 2009

Tiada ulasan: