PADA Khamis ini, 23 April ialah Hari Buku Sedunia. Sempena hari bermakna itu, penulis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Mahmud Elias kerana mematuhi satu arahan jeneralnya yang amat penting pada Januari tahun 1960.
Ketika itu, Mahmud telah mendaftarkan anaknya dalam darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Polis Depoh. Sebaiknya diketahui perkara itu, ketuanya dengan serta merta mengarahkan supaya Mahmud memindahkan sekolah anaknya ke Rifle Range Road School, sebuah sekolah jenis kebangsaan Inggeris (SJKI) baru ditubuhkan pada tahun itu oleh kerajaan dan terpaksa menumpang di sekolah kebangsaan. ''Demi masa depan anak kau,'' katanya kepada Mahmud.
''Bila cikgu panggil nama, jangan sebut ya, tapi katakan yes!'' pesan beliau kepada anaknya pada hari pertama persekolahan. Terdapat 26 kelas darjah satu. Oleh kerana mendaftar lewat, maka penulis ditempatkan di kelas paling hujung iaitu Standard One Z.
Pada tahun 1969, dalam darjah empat, menjelang Peristiwa 13 Mei, buat pertama kali penulis berjaya membaca sebuah buku cerita Inggeris bertajuk, Folk Tales of Asia sampai habis. Selepas itu, buku The Mystery of Secret Messages oleh Enid Blyton diikuti dengan David Copperfield oleh Charles Dickens, Tom Sawyer oleh Mark Twain dan sejak itu, penulis sudah ketagihan buku. Terima kasih diucapkan pada guru bahasa Inggeris ketika di darjah satu, namanya Grogaja. Juga kepada guru bahasa Inggeris yang turut menyemai kesedaran politik ketika di tingkatan tiga bernama Yong Ah Kau.
Maka sempena Hari Buku Sedunia, penulis juga merakamkan ucapan terima kasih kepada sekolah-sekolah lama penulis yang berjaya membangunkan perpustakaan yang mempunyai koleksi buku yang membuka minda penulis, iaitu High School Batu Pahat dan St John's Institution. dari situlah, penulis dapat membaca Wealth of Nations oleh Adam Smith, Origins of Species oleh Charles Darwin dan Capital oleh Karl Marx.
Begitu juga ucapan terima kasih kepada kerajaan-kerajaan negeri Johor dan Selangor yang menyediakan perpustakaan di bandar Batu Pahat dan kota Kuala Lumpur. Kerana dari situ penulis kenal hasil karya Sutan Takdir Alisjahbana, Chairil Anwar, Idrus, Hamka, Pramoedya Ananta Toer, Achdiat K Mihardja, Shahnon Ahmad melalui novel-novelnya Protes, Perdana dan Menteri; Samad Ismail, Lenin, Sukarno (Di Bawah Kibaran Bendera Revolusi) , Ahmad Boestamam, Arenawati, Usman Awang, Syed Naquib Al-Attas, Harrison Salisbury, Franz Kafka, Karl Popper, Leo Tolstoy, Paul Sartre, Albert Camus yang merupakan antara nama yang masih diingati dalam usia 50 ini.
Perpustakaan
Ucapan terima kasih juga kepada kerajaan-kerajaan Amerika Syarikat, Britain, Libya dan Kesatuan Soviet. Ini kerana pada pada tahun-tahun 70-an, Amerika menubuhkan perpustakaan Lincoln Cultural Center di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan Britain yang menyediakan perpustakaan British Council. Libya melalui perpustakaan Libyan Arab Cultural Centre. Kesatuan Soviet pula mendirikan perpustakaan Soviet Cultural Centre.
Dari perpustakaan-perpustakaan itu, penulis dapat memahami apa yang dikatakan demokrasi, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme dan komunisme. Maka dari situlah dapat dikenali Thomas Jefferson, Herbert Marcuse, Bertrand Russell, Maxim Gorky dan Buckingham Fuller, antara lain.Tanpa bahasa Inggeris tentu penulis tidak akan berupaya menyelami hasil karya besar yang disediakan mereka.
Buku pertama yang penulis beli ialah kamus Oxford. Sejak itu buku terus bertambah di rumah. Mula-mula di rumah ibu bapa, kemudian di rumah sendiri. Buku-buku ini disaring dari masa ke semasa untuk melegakan ruang yang bertambah sendat.
Melihat rak-rak buku itu dalam usia 50 ini timbul tanda tanya, siapakah yang akan membaca buku-buku ini pada masa akan datang. Anak-anak tidak minat untuk menggunakan buku-buku itu. Mereka yang mampu membaca Inggeris juga tidaklah ketagih buku seperti bapanya.
Anak-anak tentunya ketagihan gajet. Daripada komputer, laptop, Play Station, i-pod dan i-phone, jendela mereka kepada dunia jauh lebih luas. Melalui Internet, mereka boleh mengakses pelbagai bahan bacaan dari seluruh dunia.
Tetapi mereka bukan saja tidak meminati membaca, tetapi kurang mencinta ilmu. Apa yang mereka gemari ialah permainan komputer. Mereka tidak menyukai tulisan. Mereka tidak membaca khazanah yang terkandung dalam Internet. Mereka hanya melayari Internet.
Anak-anak ini juga tidak cukup memiliki kesabaran untuk duduk dan menulis. Mereka hanya cut and paste. Tetapi ada antaranya gemar membuat blog, selain daripada menonton YouTube dan aktif dalam Facebook.
Tetapi mereka sudah kehilangan daya tahan untuk membaca buku sepenuhnya sehingga selesai. Atau menulis karangan panjang-panjang.
Pada satu hari ketika mereka mencapai usia 50 tahun, mungkin anak-anak ini akan mengucapkan terima kasih kepada ayahnya kerana membelikan mereka komputer, laptop, melanggan Streamyx, dan memberi wang kepada mereka untuk membeli Playstation Portable (PSP), i-pod dan segala aksesori di Plaza Low Yat yang entah apa-apa.
Anak-anak ini juga akan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendirikan Jaring dan segala infrastruktur yang membolehkan Malaysia menjadi negara berteknologi maklumat (IT).
Antara anak-anak ini ada juga yang akan berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya dasar ini memaksa mereka untuk menguasai bahasa itu untuk berjaya dalam pelajaran.
Tidak kurang juga, mereka akan mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Amerika Syarikat yang memungkinkan Internet digunakan di seluruh dunia.
Utusan Malaysia Online: 19 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan