Jumaat, 10 April 2009

Sabah&Sarawak: Guru perlu bawa perubahan laksana tugas

KUCHING: Masyarakat guru dan kakitangan sekolah di negeri ini perlu ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing kerana niat yang ikhlas adalah 'pintu' ke arah membawa perubahan dalam tugasan mereka, selaras dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr Julaihi Bujang, berkata untuk berubah setiap guru dan kakitangan sekolah perlu sentiasa berfikir bagi mencari pembaharuan sekali gus menambah baik semua bidang tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Beliau berkata, mereka perlu mengamalkan perkhidmatan berkualiti ekoran orang ramai sentiasa mengukur pencapaian golongan guru berdasarkan `standard' dan kualiti yang dijanjikan kerajaan.

Oleh itu, katanya, mereka harus berusaha meningkatkan kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan pendidikan di semua peringkat bermula dari sekolah rendah.

"Empat elemen penting dalam meningkatkan kualiti diri warga pendidik ialah perlu memiliki

pemikiran berkualiti, sikap berkualiti, tindakan berkualiti dan jiwa berkualiti.

"Semua elemen ini mampu menjanakan kebijaksanaan golongan guru dalam merancang, menyusun, memimpin serta mengawal individu dalam mencapai apa yang diinginkan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pelajaran Bahagian Kuching 2008, di Dewan Suarah, di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Kuching Bedui Une; Pegawai Pelajaran Daerah Padawan Selbi Seman, Pegawai Pelajaran Daerah Bau Omar Mahli dan Pegawai Pelajaran Daerah Lundu Bihud Apok.

Lebih 800 penerima anugerah cemerlang dari sekolah-sekolah rendah dan menengah serta Pejabat Pelajaran Daerah Kuching, Padawan, Bau dan Lundu menerima sijil anugerah perkhidmatan cemerlang masing-masing pada majlis itu.

Berita Harian Online: 10 April 2009

Tiada ulasan: