Selasa, 14 April 2009

Wadah Satu Malaysia melalui satu sekolah

TAHUN ini merupakan tahun ke-52 negara kita merdeka dan Alhamdulillah kita melihat perubahan kepimpinan tanpa sebarang pertelingkahan dan pergaduhan.

Kematangan seperti ini cukup dicemburui oleh negara lain.

Usia 52 tahun merupakan petunjuk bahawa negara kita telah ditinggalkan oleh penjajah secara fizikal.

Walaupun diketahui, banyak aspek pentadbiran, ekonomi, undang-undang, sosial dan lain-lain yang ditinggalkan penjajah masih menjadi ikutan tetapi sedikit demi sedikit kerajaan telah berjaya menasionalkan dan membudayakan kesemua ini untuk menjadi apa yang dipanggil sebagai budaya Malaysia.

Tetapi amat malang sekali, terdapat satu perkara iaitu integrasi di kalangan rakyat pelbagai kaum masih lagi lemah dan tidak terjalin dengan kukuh.

Walaupun tiada pertembungan besar antara kaum di Malaysia kecuali pada 13 Mei 1969, tetapi budaya hormat menghormati, semangat kekitaan, dan semangat Malaysia kita semakin terhakis. Kenapa?

Persoalan ini makin bermain di kepala semua rakyat Malaysia apabila Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diperkenalkan.

Program ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa betapa integrasi kaum di Malaysia masih lagi tidak kukuh dan di bawah sasaran sehinggakan perlunya wadah latihan khusus untuk meningkatkan integrasi kaum.

Fokus PLKN ialah memperkenalkan modul yang dapat memupuk perpaduan kaum melalui aktiviti dengan kumpulan sasarannya adalah belia pewaris negara.

Dengan moto baru Perdana Menteri kita iaitu Satu Malaysia, PLKN dilihat sebagai wadah terbaik untuk menjayakannya.

Ada artikel akhbar menyatakan, "Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang antara lain memupuk perpaduan kaum melalui pelbagai aktiviti mampu mempercepatkan konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak", (Mingguan Malaysia, 12 April 2009, muka surat 14).

Secara umumnya PLKN amat membantu dalam menuju ke arah matlamat Satu Malaysia, tetapi persoalan timbul berkesankah ia?

Saya tidak pernah menentang PLKN malah menggalakkan aktiviti dan program sedemikian diadakan. Tetapi bagi saya fokusnya mungkin perlu sedikit berbeza. Mungkin negara jiran kita Singapura boleh dijadikan contoh berkenaan fokus khidmat negaranya.

Bagi saya kita tidak perlu membazirkan wang yang banyak untuk mengukuhkan perpaduan kaum di Malaysia dengan memperkenalkan program khas. Adakah dengan menjalani latihan selama tiga bulan dapat memberi impak seperti yang kita kehendaki?

Kenapa sekolah medium yang mendidik anak Malaysia tidak dijadikan instrumen untuk menggalakkan penyatuan kaum?

Bukankah 11-12 tahun di sekolah satu tempoh yang cukup untuk mengeratkan tali integrasi kaum di negara kita ini.

Tetapi idea ini perlukan pengorbanan semua pihak. Semua rakyat perlu mempunyai misi dan visi yang sama dengan kepimpinan negara. Usahlah kita terlalu bersikap perkauman jika Satu Malaysia ingin dicapai.

Ingin saya cadangkan kepada kerajaan, mungkin sudah sampai masanya kita melihat kembali pelaksanaan serta dasar sekolah vernakular di negara ini.

Adakah dengan mempunyai sistem sekolah pelbagai ini boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia ini?

Jika ya teruskanlah, tetapi jika tidak usahlah kita berpura-pura dan meneruskan dasar yang akan menghancurkan negara dan paling tidak akan menghancurkan idea Satu Malaysia ini nanti.

Kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pelajaran, jadikanlah pelantikan ini pembawa perubahan dalam aspek pendidikan negara.

Perpaduan hanya boleh diperkukuhkan jika kita bersatu. Ia tidak datang bergolek hanya dengan berada di bawah satu bumbung.

Tetapi ia muncul apabila kita berada di bawah satu sistem, mengadakan aktiviti secara bersama dan berinteraksi seperti saudara.

Tidak lain dan tidak bukan, bagi saya sistem ini adalah sistem kebangsaan yang dilahirkan melalui wadah sekolah kebangsaan.

Jadikanlah sekolah itu wadah penyatuan dan pembentukan fikrah anak bangsa kita tanpa mengira warna kulit dan budaya.

Saya percaya cerdik pandai di negara kita ini mempunyai mekanisme terbaik dalam memberi ruang kepada semua bahasa ibunda diajar di sekolah kebangsaan.

Keyakinan saya ini berasaskan kepada semangat Satu Malaysia dan bagaimana negara maju berjaya mengurangkan semangat perkauman melalui pendidikan dan bahasa yang digunakan.

Hari ini mungkin susah untuk kita berubah, tetapi demi masa depan yang cerah biarlah perubahan itu bermula sekarang dan bukannya ketika kita ditimpa malang.

Satu Malaysia jangan dilupa
Itulah prinsip untuk berjaya
Anak Malaysia kental jiwanya
Sekolah kebangsaan itulah wadahnya

MOHD. KHAIRI MD JAAFAR
Kulim, Kedah

Utusan Malaysia Online: 14 April 2009

1 ulasan:

Syahid berkata...


Bismillahir Rahmanir Rahmanirahim

https://keep.line.me/s/e3CDyq3Xh6tfeqo-Q1f-HigFRyCYa00QAvqdfwTEsuI

Salam dan renungan

Web: almawaddah.info

Kepada;

Yang dihormati Para rektor universiti, para akademik dan para mufti.

Tun,Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/tuan/puan.

Perkara: "Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertentangan dengan al-Qur'an dan ayat-ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah" sebagai kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah.info

1. Tidakkah al-Qur'an itu asas agama Islam yang diredai oleh Allah dan Rasul-Nya?

2. Tidakkah Islam itu rahmatan lil Alamin?

Terima kasih dan 'afwan.

Daripada;

Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.







.....