KUALA KANGSAR 10 April - Majalah yang diterbitkan di sekolah-sekolah wajar dinilai oleh semua pihak bukan di kalangan para pelajar dan ibu bapa sahaja.
Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kurikulum (Bahasa) Pejabat Pelajaran daerah, Ejazi Yahya berkata, majalah sekolah yang dihasilkan dengan kerjasama para pelajar dan guru mampu memupuk budaya penulisan yang sihat.
''Bakat yang ada di peringkat awal ini sepatutnya dipupuk dan dibaja, tetapi apa yang berlaku ialah bakat ini tenggelam sebaik sahaja mereka meninggalkan bangku sekolah," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Lembaga Pembangun Sastera (Lepas) Perak kali ke-57 di di sini hari ini.
Kata beliau, menerusi penglibatan masyarakat yang lebih luas, para pelajar pasti akan lebih berminat untuk menghasilkan penulisan yang lebih menarik.
''Semua pihak wajar memberi dorongan supaya bakat penulisan di kalangan mereka tidak terhenti dan seharusnya mendapat asuhan yang betul," katanya.
Dalam masa sama, kata Ejazi, para pelajar juga digalakkan menyertai pelbagai persatuan kerana ia mampu menonjolkan bakat kepimpinan mereka.
Sementara itu, Ketua Satu Lepas, Datuk Khairudin Arshad berkata, satu pertandingan puisi di kalangan pelajar sekolah akan diadakan pada l Ogos ini bertempat di Arena Square dekat sini.
''Program ini diadakan bagi mencungkil bakat muda selain menggalakkan mereka mencintai puisi yang dilihat perlu diberi perhatian," katanya.
Utusan Malaysia Online: 11 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan