GUA MUSANG – Tahap integriti dalam kalangan lebih 400,000 guru seluruh Malaysia berada dalam keadaan baik biar pun wujud kes-kes yang terpencil.
Pengarah Sektor Awam, Institut Integriti Malaysia, Mohammad Diah Wahari berkata, bagi mempertingkatkan lagi integriti dalam kalangan guru, seramai 300 guru, guru besar, pengetua dan juga guru kaunseling dari daerah Gua Musang menyertai Seminar Integriti Warga Pendidik Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Gua Musang.
Menurutnya, guru yang terpilih menyertai seminar kali ini bukannya guru-guru yang mempunyai masalah integriti tetapi mereka diharapkan dapat meningkatkan pemahaman berhubung integriti seterusnya dapat disampaikan kepada pelajar sekolah masing-masing.
“Sebenarnya tidak dinafikan terdapat kes-kes terpencil dalam kalangan guru dari aspek tugasan harian seperti masuk ke kelas pada waktu yang tak sepatutnya serta melaksanakan kerja lain dalam waktu pengajaran.
“Tetapi kita berharap kes-kes terpencil ini tidak akan mengganggu profesion perguruan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis berkenaan yang dianjurkan bersama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Institut Integriti Malaysia.
Mohammad Diah berkata, beliau amat berharap lebih 400,000 ribu guru seluruh negara akan menjadi ‘role model’ kepada pelajar masing-masing.
Mengulas isu hukuman rotan, beliau menyatakan sokongan terhadap usaha mengkaji semula hukuman berkenaan ke atas pelajar.
“Kita tidak mahu guru-guru beremosi ketika menjatuhkan hukuman dan saya melihat hukuman rotan paling baik kerana hukuman ini turut dilaksanakan dalam Islam sendiri seperti orang yang berzina turut dirotan.
“Cuma sekarang kita ingin memastikan hukuman itu dilaksanakan dengan betul tanpa ada elemen penyalahgunaan atau menghukum secara emosional,” katanya.
Sinar Harian: 13 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan