KULIM - Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah agama di sini, didakwa tertekan selepas didakwa dimalukan oleh dua orang guru wanita di sekolah terbabit dengan sengaja akibat salah faham.
Maya Sufiana Mohd Razali, 17, pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan mendakwa dua guru wanita terbabit turut menyekatnya dari menyertai pertandingan badminton di saat-saat akhir, kerana mendakwa dia seorang pelajar yang berlagak pandai.
Menurutnya, salah faham tersebut bermula apabila, dia meminta bertukar pasangan pemain bagi acara regu badminton beberapa hari sebelum perlawanan badminton sekolah-sekolah Zon Kulim Bandar Baru.
“Saya kebetulan sudah mengisi borang bersama pasangan regu yang saya inginkan, namun diberitahu bahawa ianya tidak boleh ditukar oleh guru berkenaan pada satu perjumpaan pemain sehari sebelum perlawanan.
“Saya tidak menyuarakan bantahan dengan keputusan itu, sebaliknya menurut sahaja keputusan yang dibuat, namun saya disingkirkan dari senarai wakil sekolah pada saat akhir.
Sufiana berkata, dia hanya mengetahui dirinya disingkir pada pagi Rabu lalu sebelum bertolak ke tempat pertandingan selepas dimaklumkan oleh rakannya bahawa namanya terkeluar dari senarai pemain.
Katanya, bukan sahaja disingkirkan malah dia turut dilarang oleh guru berkenaan dari mengikuti pasukan badminton sekolah berkenaan sebagai penyokong.
“Saya dilarang sama sekali untuk mengikut dan melihat persembahan pasukan pada hari berkenaan, malah, guru-guru lain juga turut dilarang membawa saya ke tempat perlawanan.
“Tidak hanya di situ, cerita saya sebagai pelajar kurang ajar juga disampaikan kepada guru-guru lain di sekolah, hingga ada yang memandang sinis kepada saya,” katanya ketika ditemui.
Sufiana juga mendakwa, posisinya sebagai calon pengawas sekolah terbabit turut disekat akibat cerita itu, malah dia turut menjadi bahan ejekan sinis guru berkenaan di dalam kelas.
Kakaknya, Aspalela Mohd Razali, 42, berkata, adiknya agak tertekan dan bersedih apabila disalah faham oleh guru-guru sekolah berkenaan.
Katanya, adiknya itu turut enggan ke sekolah selepas mendakwa sedikit tidak selesa dengan keadaan itu.
“Saya tidak ingin membuat laporan polis mengenai perkara ini, cuma saya berharap guru terbabit dapat meminta maaf kepada adik saya atas perbuatannya itu kerana sebagai seorang guru tidak sepatutnya, dia merendahkan anak muridnya,” katanya.
Sinar Harian: 13 April 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan