HARI ini Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran akan memulakan langkah pertama dalam usaha menarik minat pelajar untuk menceburi aliran teknik dan vokasional.
Usaha itu akan bermula dengan Ekspo Pendidikan Vokasional dan Kemahiran 2009 yang akan diadakan di Boulevard Centre, Miri.
Sebenarnya ekspo ini bukan sekadar ekspo biasa malah ia bermatlamat dan objektif yang amat penting selaras dengan kebimbangan yang dilahirkan oleh Pengarah BPTV, Datuk Yusoff Harun pada 17 April lalu.
Dalam kenyataannya, Yusoff yang kini dalam cuti bersara mendedahkan, bahawa kekurangan pelajar aliran teknik dan vokasional kini di peringkat kritikal.
Isu kekurangan pelajar ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak kerana dengan hanya seramai 35,000 pelajar aliran itu atau tujuh peratus daripada keseluruhan 500,000 pelajar bagi setiap kohort akan menjejaskan usaha kerajaan mencapai status negara maju menjelang 2020.
Ketika ini hanya jumlah tersebut yang dapat ditampung oleh 90 buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) di seluruh negara. Mengikut pandangan beliau, jumlah tersebut kini amat rendah untuk Malaysia berdaya saing berbanding dengan negara maju.
Secara perbandingan, negara maju seperti Jerman melahirkan 70 peratus pelajarnya dalam bidang teknik dan vokasional manakala negara-negara membangun seperti Indonesia, India dan China pula melatih 50 peratus daripada keseluruhan pelajarnya dengan kemahiran itu.
Berikutan keadaan itu pihak pentadbiran PBTV berpendapat, penambahan bilangan SMT dan SMV amat diperlukan untuk membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar yang lemah akademik untuk mendalami bidang berkaitan kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan.
Sememangnya usaha segera perlu dilakukan bagi mengelakkan krisis tersebut menjadi lebih kritikal. Apatah lagi dengan usaha mengambil sebanyak mungkin pelajar yang lemah dalam akademik untuk mendalami bidang berkenaan. Sekurang-kurangnya ia mampu memberikan mereka peluang kedua bagi mencapai kejayaan dalam hidup.
Ternyata sekali, BPTV tidak menunggu lama untuk membuat tindakan. Ini terbukti apabila bahagian itu mula melaksanakan Ekspo Pendidikan Vokasional dan Kemahiran 2009 yang bermula di Miri selama empat hari.
Menurut Pemangku Pengarah BPTV, Ahmad Tajudin Jab, selain bertujuan mempromosi pendidikan vokasional dan kemahiran, ia juga memperkenalkan laluan kerjaya dalam bidang itu.
"Kita juga berhasrat melalui ekspo ini akan membolehkan kita menjalinkan hubungan lebih akrab dengan pelbagai institut latihan vokasional dan kemahiran dengan pihak industri,'' katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Putrajaya, Isnin lalu.
Bagi Ahmad Tajudin, ekspo seumpama itu akan diteruskan di Semenanjung selepas ini dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang kemahiran.
Sememangnya, usaha yang dilakukan oleh beliau bersama pegawai-pegawai di BPTV harus diberi pujian. Ini kerana melalui ekspo seumpama itu yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong esok, ia akan mampu menarik minat pelajar untuk menyertai SMT.
Untuk memastikan masyarakat memahami kelebihan yang ada kepada SMT, ekspo itu juga akan turut mempamerkan reka cipta dan hasil kerja pelajar SMT.
Selain itu, bagi membolehkan pelajar mendalami kelebihan SMT, ceramah kerjaya dan dialog juga akan diadakan.
Apa pun keadaannya, mana-mana pihak juga tidak harus memandang ringan isu kekurangan pelajar dalam jurusan teknik dan vokasional ini. Oleh itu langkah yang dilakukan oleh BPTV haruslah disokong.
Golongan ibu bapa perlu menjadikannya sebagai kesempatan terbaik untuk merebut peluang yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran, dalam usaha memastikan anakanak mereka yang lemah dalam bidang akademik, mampu menyambung pelajaran.
Kita percaya jika kesempatan ini tidak disia-siakan sudah pastilah dilema yang dihadapi oleh BPTV berhubung kekurangan pelajar akan dapat diatasi.
Ekspo seumpama itu seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya oleh orang ramai untuk mendekati SMT. Mereka perlu menyingkirkan sebarang pandangan bahawa sekolah aliran teknik dan vokasional sebagai tidak glamour atau menarik.
Hakikatnya, persoalan yang dihadapi bukanlah soal glamour atau tidak tetapi bersama-sama kerajaan dalam merealisasikan impian menjadi sebuah negara maju dengan melahirkan modal insan yang berkemahiran dalam semua bidang, selain memastikan pelajar yang lemah akademik tidak dipinggirkan begitu sahaja
Justeru sokong dan jayakanlah usaha BPTV ini sebagai tanda kita menghargai keikhlasan kerajaan untuk memberi peluang kepada seluruh pelajar di negara ini mendapat pendidikan yang sempurna.
Utusan Malaysia Online: 23 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan