Isnin, 27 April 2009

Kementerian kenal pasti sistem baru pendidikan negara

KEMENTERIAN Pelajaran sudah melaksanakan kajian terperinci dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan negara dengan mengenal pasti pelbagai kaedah terbaik bagi menggantikan sistem sedia ada tanpa bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kajian mengenainya sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu iaitu ketika kementerian menyarankan untuk mengkaji semula sistem sedia ada bagi memastikan proses penilaian pelajar dilaksanakan secara menyeluruh.

Cadangan dikemukakan kerajaan menerusi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin itu, kata beliau boleh dilaksanakan tahun depan kerana perancangan sudah dilaksanakan lebih awal.

Kementerian katanya, sudah bersedia selepas menjalankan kajian menyeluruh mengenainya dengan mengambil kira pelbagai aspek dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, pihaknya serta pegawai berkaitan telah mengadakan lawatan ke beberapa negara dalam usaha membandingkan proses pendidikan sedia ada dan dipertingkat mengikut kesesuaian setempat.

“Kajian serta penilaian mengenai sistem baru itu sedang dalam proses akhir menyiapkan dan kerajaan akan memaklumkan kepada umum pelaksanaannya.

“Penelitian bagi membandingkan sistem sedia ada dan baru dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira pelbagai faktor dalaman serta luaran sesuai dengan standard dan kualiti murid serta keperluan semasa.

“Transformasi ini juga perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak antaranya, pemimpin masyarakat, ibu bapa, penyedia dasar kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan serta tokoh pendidik,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menerusi penilaian semula itu juga, Alimuddin berkata, pembabitan pelajar dalam bidang kokurikulum juga perlu diberi perhatian khusus sepanjang tempoh persekolahan murid.

Kementerian juga mencadangkan penilaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah hanya menyumbang 30 peratus daripada pencapaian keseluruhan pelajar, manakala Penilaian Menengah Rendah (50 peratus) dan Sijil Pelajaran Malaysia (70 peratus).

Berita Harian Online: 27 April 2009

Tiada ulasan: