Isnin, 13 April 2009

Kerenah pelajar makin ‘ke depan’

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mudah tertekan akibat bebanan tugas dan kerenah pelajar yang makin ‘ke depan’ menyebabkan guru masa kini terdorong melepaskan stres mereka dengan cara tidak wajar termasuk menghukum pelajar secara berlebihan dan terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata berbanding era sebelumnya, pendidik fasa moden ini cenderung menghadapi tekanan disebabkan pelbagai cabaran termasuklah berkaitan perkembangan minda pelajar.

“Guru dulu dengan sekarang tidak sama, dulu walaupun tidak ada kemudahan teknologi maklumat yang melambatkan kerja tapi pelajarnya berada pada tahap biasa dari segi keintelektualan dan sikap, berbanding kini semuanya serba serbi moden.

“Ibu bapa mengharapkan anak mereka mendapat pendidikan terbaik, manakala anak murid sendiri sudah ‘ke depan’ dari segi corak pemikiran, kehendak dan perangai yang mana mereka boleh menanyakan hal yang kadang-kala sukar dijawab guru.

“Ini yang menyebabkan ada guru yang gagal mengawal keadaan dan cenderung memarahi anak murid mereka bagi menutup mulut daripadanya menanyakan soalan lain, kerana mereka sendiri sudah buntu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hashim berkata masyarakat tidak perlu khuatir kerana jumlah guru yang mudah stress hanyalah sedikit dan boleh dianggap kes terpencil berbanding hampir 370,000 guru sedia ada di seluruh negara termasuk pedalaman Sabah Sarawak.

“Saya tidak menafikan ada guru yang stress dan bermasalah tapi ia jumlah yang sangat kecil serta kesnya terpencil apatah lagi apabila ia berlaku kadang-kadang sekali gus boleh dianggap bermusim bukan selalu.

“Namun, masih tidak boleh dipandang ringan kerana jumlah sedikit itu mampu memberi imej buruk kepada profesion perguruan selain berpotensi menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap warga pendidik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan guru yang mengalami tekanan perasaan dan berdepan masalah peribadi supaya segera mendapatkan rawatan termasuklah berjumpa kaunselor atau berkongsi dengan rakan untuk mengurangkan bebanan.

Menurutnya, banyak cara boleh dilakukan untuk mengubati tekanan perasaan, malah pihaknya juga bersedia menawarkan khidmat menerusi kursus memantapkan diri dan kerjaya yang turut diselitkan sesi motivasi bersama pakar.

“Setakat ini, ahli NUTP mempunyai 150,000 ahli seluruh negara dan kami menganjurkan kursus secara berkala untuk memantapkan guru serta membantu mereka mengharungi cabaran,” katanya.

myMetro: 13 April 2009

Tiada ulasan: