Rabu, 8 April 2009

Pengetua mesti siasat

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah dikesan terbabit dengan aktiviti penulisan cerpen lucah, menghadapi risiko dijatuhi hukuman berat termasuk rotan atau gantung persekolahan jika didapati bersalah mengikut penyiasatan dan pertimbangan pihak sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom, berkata pihak sekolah diketuai pengetua atau guru besar mempunyai tanggungjawab sepenuhnya memantau pelajar dan menghukum mereka jika terbabit dalam sebarang aktiviti tidak bermoral.

“Kuasa menjatuhkan hukuman ada pada pihak sekolah menerusi jawatankuasa disiplin dan tatatertib diketuai pengetua atau guru besar, justeru mereka boleh bertindak ke atas mana-mana pelajar didapati melakukan kesalahan termasuk terbabit dalam aktiviti tidak elok.

“Macam kes begini (penulisan cerpen lucah), pengetua sekolah kena dapatkan maklumat lengkap, siasat sama ada perkara ini terjadi di kalangan pelajar mereka atau tidak sekali gus laksanakan tindakan sewajarnya.

“Saya berharap dengan pemaparan masalah sosial pelajar ini akan menjadikan guru lebih berwaspada malah menjadi pengajaran supaya meningkatkan pemantauan serta mengawasi kegiatan pelajar di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kegiatan segelintir pelajar sekolah yang dikesan berjinak-jinak dengan aktiviti penulisan cerpen lucah selepas tertarik dengan tawaran bayaran sehingga RM150 bagi setiap cerita pendek erotik terbaik dihasilkan.

Kegiatan itu dilaporkan Harian Metro, kelmarin difahamkan membabitkan syarikat penerbitan buku lucah berbahasa Melayu yang dikesan menerbit dan mengedarkan sekurang-kurangnya 10 judul novel lucah bersiri di pasaran.

Bagaimanapun, Alimudin mengingatkan pengurusan sekolah supaya menjatuhi hukuman yang boleh mendidik pelajar bukannya menghukum semata-mata kerana generasi muda perlu dibimbing selaras peranan dimainkan pendidik.

“Sudah memang peranan kita mendidik, sebab itu hukuman dikenakan perlu terarah kepada unsur pendidikan dan ini termasuk kaunseling atau pendekatan keagamaan. Apapun kita perlu menyiasat dulu sebelum menghukum,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata tanggungjawab memantau aktiviti pelajar tidak harus diserahkan kepada guru semata-mata, sebaliknya dipikul bersama ibu bapa dan masyarakat.

Menurutnya, ada bermacam ragam pelajar termasuk mereka yang menunjukkan dua personaliti serta karektor berbeza ketika di sekolah mahupun rumah, justeru menyukarkan lagi usaha guru untuk mengawal aktiviti pelajar.

“Sebab itu saya katakan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu mengawal aktiviti pelajar ini kerana mereka tidak semestinya melakukan perbuatan tidak elok di sekolah tetapi buat di luar sekolah atau di rumah,” katanya.

myMetro: 8 April 2009

Tiada ulasan: