Rabu, 22 April 2009

Johor: Lemah kuasai bahasa Melayu tiga daerah perlu diatasi

KOTA TINGGI: Pengetua, guru dan pelajar sekolah menengah di daerah ini, terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini perlu terus menjadi penyumbang kepada peningkatan peratus kecemerlangan peperiksaan awam itu di peringkat negeri.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran, berkata pihaknya mengakui sokongan warga sekolah adalah paling penting dalam usaha Johor mencapai sasaran kedudukan lima terbaik dalam peperiksaan awam itu.

"Daerah Pasir Gudang, Johor Bahru dan Kulai sehingga kini terus mencapai keputusan rendah berikutan faktor pelajar bukan Melayu lemah menguasai mata pelajaran bahasa Melayu.

"Oleh itu, warga sekolah di daerah ini perlu mengekalkan kejayaan mencipta rekod dan prestasi dalam peperiksaan SPM akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kualiti Pejabat Pelajaran Daerah di Kolej Komuniti Bandar Penawar dekat sini. Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Zakaria Yusof dan Timbalan Pegawai Pelajaran, Samion Kasim, pengetua dan guru besar sekolah di daerah ini.

Markom berkata, sehingga kini, Johor masih belum mencapai slogan 'Johor Top 5' dengan negeri ini terus berada di belakang Sabah yang pelajarnya ramai di kawasan luar bandar berikutan faktor kelemahan pelajar dalam pelajaran bahasa Melayu.

Berita Harian Online: 22 April 2009

Tiada ulasan: