Rabu, 22 April 2009

20 tahun Sekolah Kebangsaan Sempang tiada padang

JASIN 21 April - Golongan ibu bapa dan kira-kira 300 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sempang, Merlimau di sini mengharap keprihatinan kerajaan untuk menyediakan kemudahan padang di sekolah itu yang dipohon sejak lebih 20 tahun lalu.

Ketiadaan padang di sekolah itu mengehadkan penglibatan murid untuk bersukan.

Lebih menyedihkan, mereka terpaksa menjalani latihan sukan di laluan kaki lima sekolah bagi membuat persediaan kejohanan sukan yang disertai.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati murid sekolah itu terpaksa menggunakan kawasan lapang yang terhad di belakang sekolah bagi latihan lontar peluru dan menggunakan kawasan bersimen letak kereta untuk berlatih bola baling dan futsal.

Malah kawasan untuk berlatih sukan lontar peluru juga agak terhad keluasannya dan tidak bersesuaian dengan keperluan sukan itu yang memerlukan kawasan luas serta berumput.

Tinjauan juga mendapati tiada lampu isyarat atau tanda amaran murid melintas jalan disediakan di hadapan sekolah itu memandangkan kedudukannya yang terletak pada persimpangan laluan utama jalan raya.

Akibatnya, sekolah itu yang sepatutnya mampu menampung kira-kira 500 murid namun hanya terdapat sejumlah 300 murid bersekolah di situ sejak ia dibina sekitar 1939.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Kamarudin Mat Dani, 44, berkata, ketiadaan beberapa kemudahan terutama padang menyebabkan sebahagian ibu bapa tidak berminat menghantar anak mereka bersekolah di SK Sempang.

''Masalah kekurangan ini antara faktor SK Sempang kurang mendapat tumpuan ibu bapa dan mereka lebih gemar menghantar anak-anak ke sekolah lain walaupun kediaman berhampiran sekolah ini.

''Perkara ini sudah terlalu lama kami kemukakan kepada Jabatan Pelajaran dan wakil rakyat kawasan namun masih gagal menyelesaikan masalah ini," katanya di sini hari ini.

Kata Kamarudin, masalah ketiadaan padang sepatutnya sudah lama selesai setelah pihak sekolah berjaya mendapatkan tanah kelapa sawit seluas 0.8 hektar bersebelahan bangunan sekolah itu bagi pembinaan padang.

''Kira-kira 20 tahun dulu, pihak jabatan memberi alasan tidak dapat bina padang sebab tiada kawasan sesuai tetapi setelah berjaya mendapat tanah sejak empat tahun lalu, pihak berkenaan beri alasan tiada peruntukkan pula.

''Sehingga bila anak-anak kami di sekolah ini akan berlatih sukan di kawasan kaki lima sekolah dan menumpang padang di kampung berdekatan untuk berlatih bola sepak," tanya beliau lagi.

Timbalannya, Azman Kadir, 40, berkata masalah ketiadaan padang di sekolah itu semakin kerap dikemukakan sejak empat tahun lalu pada setiap kali mesyuarat PIBG sekolah.

''Perkara ini kami telah kemukakan kepada jabatan yang berkaitan dan wakil rakyat di kawasan ini namun jawapan mereka selama empat tahun ini tetap sama 'tunggu peruntukan'.

''Pada masa sama, ibu bapa di kawasan ini semakin resah dan sering bertanyakan tentang ketiadaan padang ini kepada pihak PIBG sehingga kami sudah tidak berdaya lagi untuk memberi penjelasan," katanya.

Katanya, walaupun sekolah itu tidak mempunyai kemudahan padang namun ia tidak mematahkan semangat murid untuk menyertai pertandingan sukan dan pernah menjadi naib johan bagi perlawanan sepak takraw daerah Jasin.

Katanya, seorang murid sekolah itu juga turut terpilih mewakili Melaka ke pertandingan sepak takraw.

Tambahnya, baru-baru ini sekolah itu terpilih menjadi tuan rumah bagi pertandingan bola baling tetapi disebabkan ketiadaan padang, terpaksa menggunakan padang sekolah berhampiran.

Utusan Malaysia Online: 22 April 2009

Tiada ulasan: