Sabtu, 3 April 2010

3 sekolah, 7 guru dapat penghargaan

KOTA TINGGI 2 April - Tiga sekolah dan tujuh orang guru menerima surat penghargaan dari Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) atas sumbangan warga sekolah dan guru berkenaan kerana menjalankan inovasi ke arah penambahbaikan sistem pentadbiran.

Sijil penghargaan itu disampaikan Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Zakaria Yusof pada majlis ringkas di Dewan Sri Warisan, Jalan Omar di sini.

Ia sempena Perhimpunan Bulanan Kedua Pengetua dan Guru Besar Daerah Kota Tinggi melibatkan 95 sekolah menengah dan rendah kelmarin.

Mohd. Zakaria berkata, penghargaan itu sebagai menghargai sumbangan pihak sekolah dan guru yang terlibat dalam membuat inovasi penambahbaikan sistem pentadbiran di sekolah masing-masing.

"Antaranya, Rekod Pergerakan Guru oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Easter, Program Fikir oleh Sekolah Menengah Teknik dan E-Bayaran yang dihasilkan Sekolah Kebangsaan Seri Jaya di sini," katanya.

Tiga guru pula menerima sijil penghargaan kerana sumbangan mereka menganggotai Panel Perunding Mata Pelajaran peringkat negeri iaitu Nor Khairi Pungut (Geografi), Hanisah Ali (Bahasa Inggeris) dan Noor Ishak Mohd. Noor (Matematik).

Turut menerima surat penghargaan kategori pengantarabangsaan sekolah adalah empat orang guru iaitu Shaharudin Sha'ri, Abd. Majid Manshor, Ibrahim Mohd. Ali dan Ahmad Othman yang menganggotai Pasukan Sukarelawan Bencana (PSB) JPNJ yang terbabit dalam Misi Penghantaran Bantuan Kemanusiaan ke Pariaman, Padang, Indonesia yang dilanda gempa baru-baru ini.

Delegasi terdiri daripada warga pendidik dan badan bukan kerajaan yang diketuai Pengarah Pelajaran Negeri, Sufaat Tumin turut menerima surat penghargaan daripada Dinas Pendidikan Padang Pariaman Provinsi Sumatera Barat yang menghargai bantuan daripada JPNJ.

Pada majlis itu, Pengurus Bank Rakyat cawangan Kota Tinggi, Shaiful Azam Abdul Latif turut menyampaikan sumbangan wang zakat sebanyak RM16,050 untuk diagih-agihkan kepada lapan buah sekolah di sini.

Utusan Malaysia Online: 3 April 2010

Tiada ulasan: