DATUK Hishammuddin Tun Hussein pada pemilihan UMNO baru-baru ini memberi kejutan apabila beliau mengetengahkan saranan agak kontroversi. Beliau mencadangkan agar guru-guru dibenarkan berpolitik.
Mungkin rasional cadangan itu berdasarkan sejarah awal UMNO yang disertai oleh tokoh-tokoh pendidik. Golongan itu tidak dinafikan telah mencurahkan sumbangan besar dalam memperkukuhkan UMNO.
Antaranya, Allahyarham Tun Abdul Ghafar yang turut dikenali sebagai bekas pendidik yang menjadi negarawan berjiwa kental.
Cadangan Hishammuddin pada asasnya baik tetapi berdasarkan pertimbangan corak dan implikasi politik Malaysia masa kini, sudah tentu banyak perbezaan berbanding politik di era 1960-an dan 1970-an.
Oleh itu, cadangan tersebut agak terkebelakang sedikit kerana tidak disandarkan kepada implikasinya kepada pemikiran golongan pendidik dan pelajar.
Jika guru dibenarkan berpolitik, apakah akan wujud tuntutan di mana, semua kakitangan kerajaan dibenarkan berpolitik secara formal. Apa akan terjadi dengan golongan pensyarah di universiti dan mahasiswa? Sudah tentu ada yang mendesak untuk dibenarkan berpolitik.
Mereka juga akan aktif dalam politik termasuk menyertai perhimpunan - termasuk mungkin yang tidak mendapat permit - menghadiri mesyuarat cawangan, menganjurkan ceramah, menjawat jawatan politik dan sebagainya. Kesannya, mereka akan lari daripada tanggungjawab hakiki.
Politik adalah sesuatu yang menjanjikan keagungan, kekuasaan, popular dan kehormatan. Sebab itu hanya sedikit sahaja yang benar-benar berpolitik untuk berkhidmat kepada rakyat. Selebihnya untuk jawatan.
Buktinya, apabila kalah dalam pemilihan jawatan, ramai yang berundur atau menyertai parti lain sebagai protes. Sesetengah pemerhati politik mendefinisikan ia sebagai "budaya politik cari makan".
Justeru, jika guru-guru dibenar berpolitik, profesion lain juga akan menuntut perkara yang sama untuk menjadi terkenal, berkuasa dan dihormati.
Seandainya semangat berpolitik di kalangan penjawat awam meningkat, ada kemungkinan akan wujud pelbagai parti politik baru.
Walaupun ia sesuai dengan konsep demokrasi namun ia memberi kesan kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Tidak dinafikan walaupun penjawat awam tidak terbabit secara langsung dengan politik, namun campur tangan politik memang wujud dalam perkhidmatan awam kerana dasar-dasar dibuat oleh orang politik.
Kalau diimbas, isu pengwujudan integrasi kaum melalui penstrukturan semula sistem sekolah atau sistem pendidikan pernah bergema sebelum ini. Hal tersebut bertitik tolak daripada kerenggangan hubungan kaum akibat polemik politik.
Oleh itu, jika mengambil kira perubahan sokongan rakyat kepada kerajaan yang semakin luntur, penjawat awam seperti guru yang aktif dalam politik memberi kesan terhadap "kawalan politik" ke atas pelajar.
Kita tidak boleh mengandaikan bahawa semua guru sekolah akan menjadi ahli politik untuk parti pemerintah kerana falsafah politik negara berlandaskan kepada demokrasi. Kerajaan pula tidak boleh mewajibkan semua guru menjadi ahli parti pemerintah.
Sekiranya guru dibenarkan berpolitik, penjawat awam dalam profesion lain juga akan terdorong berpolitik.
Kalau ramai berpolitik dengan tiket yang sah, apakah kerajaan dapat mengawal pelbagai idealisme dan adakah proses pembangunan dapat berjalan lancar sekiranya idealisme politik menjadi penghalang?
Rasanya, cukuplah para guru sekadar terlibat dalam politik sebagai pengundi pada pilihan raya.
Kita percaya parti politik seperti UMNO masih mempunyai cara untuk mengukuhkan parti. Sebaliknya jika UMNO tidak berhati-hati, cadangan ini hanya akan memberi kelebihan kepada parti pembangkang mengukuhkan legitimasi mereka.
ROSLEE MARDAN
Universiti Utara Malaysia, Sintok
Utusan Malaysia Online: 2 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan