Khamis, 2 April 2009

Mati selepas dirotan guru




SEREMBAN 1 April – Seorang murid tahun tiga yang menghidap penyakit saraf otak meninggal dunia awal pagi ini, selepas beberapa jam dirotan di bahagian tangan oleh gurunya, semalam.

Murid lelaki di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Tiong di Gemas itu meninggal dunia di rumahnya pukul 3.30 pagi ini setelah menerima rawatan di Hospital Segamat dan Hospital Sultanah Aminah, Johor.

Mangsa, Chan Qi Xin, 9, sebelum itu dikatakan mengadu sakit kepala selepas dirotan oleh seorang guru perempuan pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, murid itu tidak menunjukkan sebarang kesan drastik ketika dirotan, sebaliknya mengadu sakit kepala dan pengsan beberapa minit selepas itu.

‘‘Melihatkan keadaannya yang serius, pihak sekolah segera bertindak menghubungi ibu bapa pelajar berkenaan sebelum membawanya ke Hospital Segamat yang bersempadan dengan Gemas,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program kempen derma darah sempena sambutan peringatan Hari Polis Ke-202 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Osman berkata, murid berkenaan telah mendapat rawatan kecemasan di hospital tersebut tetapi terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru berikutan keadaannya yang membimbangkan.

Bagaimanapun katanya , pemeriksaan di hospital mendapati murid tersebut menghidap penyakit saraf otak. Doktor mengesahkan mangsa tidak mempunyai harapan dan dia dinasihatkan dibawa pulang ke rumahnya di Gemas.

‘‘Pelajar itu meninggal dunia di rumahnya pada pukul 3.30 pagi ini dan mayatnya telah pun dihantar ke Hospital Tuanku Ja‘afar untuk bedah siasat,’’ katanya.

Osman berkata, setakat ini, polis sedang mengumpul semua maklumat termasuk mendapatkan rekod perubatan, laporan Jabatan Pelajaran Negeri serta laporan bedah siasat.

Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan guru berkenaan tidak disengajakan tetapi bergantung kepada siasatan menyeluruh yang dilakukan pihaknya nanti.

‘‘Setakat ini kita belum buat sebarang pertuduhan. Malah, ibu-bapa mangsa pun belum membuat laporan polis,’’ katanya.

Sehubungan itu, Osman mengingatkan ibu bapa pelajar supaya memberikan maklumat secukupnya mengenai tahap kesihatan anak-anak mereka kepada pihak sekolah.

‘‘Ini akan memudahkan pihak sekolah untuk menyimpan data lengkap tentang kesihatan murid, sekali gus dapat menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam sebarang tindakan yang diambil,’’ katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 April 2009

1 ulasan:

ONE ZABA berkata...

kasihan sungguh guru itu. pasti tido tak lena. makan tak lalu. moga nasibnya terbela.