Isnin, 2 November 2009

150 sertai perkhemahan tahunan Unit Beruniform



KELAWEH - Kira-kira 150 murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaweh dekat sini menyertai Perkhemahan Tahunan Unit Uniform 2009 yang diadakan selama tiga hari dua malam, di sini.

Guru Besarnya, Bahadar Yusoff berkata, murid-murid tersebut mewakili empat badan beruniform iaitu Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Puteri Islam dan Tunas Kadet Remaja Sekolah.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan tersebut adalah pertandingan kawad kaki, memasak, khemah tercantik, ikatan, rawatan kecemasan, malam kebudayaan, mencari harta karun dan flora dan fauna.

"Program tahunan ini, diharapkan mampu memberi pendedahan kepada murid kepada suasana perkhemahan sekali gus mengenai aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

"Pada masa yang sama, ia juga memberi ruang kepada murid agar berdikari dalam menyediakan pelbagai keperluan mereka berbanding disediakan ibu bapa semasa berada di rumah. Ini akan membina semangat bekerjasama dan saling bertolak ansur antara mereka,’’ katanya.

Bahadar berkata, selain kesan positif terhadap pelajar, program perkhemahan tersebut turut dapat memupuk semangat kerjasama di antara guru.

Katanya, ia menjadi kenangan manis bukan sahaja kepada pelajar-pelajar, malahan juga kepada guru-guru yang terbabit di dalam perkhemahan selama tiga hari dua malam itu.

"Ini adalah satu program yang menarik dan bagus. Saya berbangga dengan semangat yang ditunjukkan peserta,” katanya.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: