APAKAH signifikannya aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga mendorong Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ia diberi tumpuan khusus di setiap sekolah?
Jawapannya, kalau hendak melahirkan pelajar yang seimbang dan sempurna 360 darjah mengikut dimensi Falsafah Pendidikan Negara, maka kokurikulum boleh melakukannya. Memang kokurikulum ada caranya.
Kokurikulum menjadikan pelajar pendiam petah bercakap, pelajar malas menjadi rajin, pelajar yang suka menyendiri menjadi jaguh dalam kumpulannya dan pelajar yang sebelum ini hanya hidup dalam dunianya, akan melihat alam semesta ini sebenarnya luas.
Kokurikulum melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar. Lebih bersikap profesional dan dinamik dalam hal pengurusan masa, mengurus acara, emosi diri serta rakan-rakan dan menjadi lebih fokus. Kokurikulum juga mendidik seseorang pesertanya mempelajari cara menyelesaikan masalah dan kreatif.
Lebih penting, kokurikulum menjadikan dimensi pendidikan lebih bersifat holistik. Walaupun tidak 360 darjah tetapi lebih baik berbanding rakan lain yang pasif dan hanya seperti ulat buku mengejar sebanyak mungkin "A" dalam peperiksaan.
Sebagai contoh, di Sekolah Menengah Seri Puteri, Cyberjaya, perubahan kepada ciri dan kualiti pelajarnya yang mengikuti aktiviti kokurikulum iaitu Program F1 cukup ketara.
Program F1 in School merupakan program Kementerian Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan sejak 2005.
Melalui program ini, sekumpulan empat pelajar akan mereka bentuk kereta lumba F1 sebesar lebih kurang telefon bimbit daripada kayu balsam yang digerakkan dengan pelepasan karbon disoksida termampat.
Reka bentuk adalah menggunakan perisian khusus, yang ditentu ukur mengikut manual spesifikasi pertandingan, sebelum diukir oleh sebuah mesin.
Penolong Kanan, Datin Zaliah Ismail berkata, pemantauan terhadap perubahan seseorang pelajar daripada segi sahsiah dan pembawaan lebih senang dilakukan di sekolah berasrama kawalan kerana mereka membesar bersama-sama guru yang menjadi ibu bapa dan membimbing mereka seawal usia 13 tahun.
"Jadi saya boleh nampak akan perubahan sikap pelajar yang dicorakkan oleh kegiatan kokurikulum yang mereka ceburi," ujar beliau.
Demi aktiviti kokurikulum, beliau sedia memberi pelepasan masa kepada pelajarnya.
Kokurikulum banyak membawa perubahan positif kepada pelajar di sekolah ini, menjadikan mereka lebih matang dan mempunyai ciri yang diperlukan selepas melalui sistem pendidikan.
Malah, empat pelajar yang dipilih mengikuti program berkenaan turut merasai perubahan pada diri sendiri.
Bagaimanakah program F1 in School, secara khusus boleh membentuk keperibadian dan mencanai minda pelajar? Rahsianya terletak kepada proses, kitaran, keperluan dan objektif program yang memerlukan kebijaksanaan ilmu semasa di dalam kelas - khususnya fizik, matematik dan perlumbaan.
Terdapat enam kriteria yang akan menjadi asas kepada penilaian program F1 in School, iaitu pelan perniagaan, reka bentuk, analisis, pembuatan, ujian.
Selain penilaian tersebut, pemarkahan juga diambil kira berdasarkan pembentangan yang memerlukan kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris, selain membentangkan program penyelidikan masing-masing dalam bentuk dokumentasi bertulis. Semangat setiakawan juga diambil kira.
"Di sinilah kami mesti bekerjasama walau pun sebelum ini kami ada masalah masing-masing," kata Aina Farzana Mohd Azmi, Ketua Pelajar SMK Sri Puteri, selaku Pengurus Sumber projek F1 in School sesi 2009.
Anak seorang akauntan dari Sungai Buloh itu sangat sensitif dan cerewet dengan apa yang dilakukannya, apatah lagi aktiviti kokurikulum itu amat diminatinya.
Pihak sekolah telah memilih empat pelajar terbaik dari segi keputusan peperiksaan dan kedudukan jawatan di sekolah iaitu Aina Farzana (Ketua Pelajar), Hanie Farhana Hamdi (Penolong Ketua Pelajar), Kautsar Hanapai dan Nurulauni Aqilah Saniman.
Keempat-empat pelajar ini memang dikenali oleh guru dan rakan sebagai pelajar pintar.
Program kokurikulum yang dianggap elit itu benar-benar melatih para pelajar berkenaan untuk membina stamina bagi mengatur, mengurus dan menyiapkan tugasan pada setiap hari, bermula 4.30 petang hingga sekitar 5.30 petang.
Dari segi aplikasi atau kaitan dengan apa yang dipelajari daripada buku teks, Hanie Farhana memberitahu, program F1 menuntut kreativiti pelajar untuk mengisi persoalan prinsip fizik, khususnya perkaitan kelajuan dan tekanan, serta reka bentuk aerodinamik.
"Malah kami mempunyai rasional yang kreatif untuk memberi nama kumpulan kami sebagai 'Dash' - kerana mudah sebutannya serta tepat dengan motif berkelajuan tinggi, sementara warna korporat ungu dan putih, yang melambangkan kepantasan serta kedinamikan," kata Hanie Farhana.
Kokurikulum menuntut mereka bertanggungjawab, tolong menolong ketika mengatur strategi dan berkeyakinan, tambah Hanie Farhana. Semangat tolong menolong jelas terjalin apabila pelajar tingkatan lima yang pernah menjadi pasukan F1 ketika masih berada di tingkatan empat turut turun padang membantu pasukan baru itu.
Seperti rakan-rakan lain, Nurulauni Aqilah, anak seorang guru sekolah rendah dari Pasir Gudang, Johor, mahir membuat kaliberasi pemotongan dan ukiran daripada perisian yang disediakan utnuk membuat acuan kereta lumba F1.
"Kami membuat penyelidikan di perpustakaan, mula berfikir secara terbuka tentang hukum fizik seperti bentuk seekor katak yang bersifar aerodinamik atau sisi kepak kereta yang terlalu nipis sehingga senang patah, atau bagaimana sifat angin dan tekanan dan hubungannya dengan rongga pada kereta, ketika kereta bergerak pada kelajuan tinggi," katanya.
Program berkenaan hanya terbuka kepada pelajar tingkatan empat.
Melalui kokurikulum juga, pelajar lain berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh wakil sekolah. Program F1 in School adalah kebanggaan keseluruhan warga Sekolah Seri Puteri .
Aspek perancangan dalam apa juga program kokurikulum sangat kritikal. Aspek pembangunan sumber manusia, membangunkan pasukan pelapis serta strategi jangka panjang dalam menjana pendapatan, merupakan faktor yang kritikal.
Hanie Farhana serta rakan-rakannya itu mendapat latihan untuk membuat pembentangan secara yang efektif dan berkesan di depan juri nanti daripada pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Memang program kokurikulum seperti program F1 in School itu mempunyai banyak manfaatnya., tambahan pula kalau ia bersifat pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Guru koordinator program tersebut, Suh Fen Ng, bersetuju bahawa aktiviti kokurikulum di sekolah sangat penting bagi membangunkan beberapa kemahiran yang hakiki dan nyata ketika berkomunikasi dengan dunia luar.
Hasil pemantauannya terhadap para pelajar yang mengikuti program F1 in School itu ialah pelajar semakin pintar berkomunikasi, tidak berputus asa, dan bekerja dalam satu pasukan.
"Mereka juga membina keyakinan diri," katanya.
Sebagai contoh, pada mulanya sasaran yang ditetapkan bagi penajaan hanya RM5,000, tetapi meningkat kepada RM8,500 hasil daya kreativiti dan kesungguhan para pelajar, tambah Feng Ng.
Katanya, cabaran teknologi F1 terbuka untuk pelajar tingkatan empat, yang mereka bentuk dan membina model kereta lumba berkuasakan gas karbon dioksida. Pelajar menggunakan perisian 3D CAD SolidEdge daripada Amerika Syarikat. Model kereta itu kemudian dibangunkan menggunakan mesin yang dikenali Denford CNC Microrouter dalam bentuk acuan.
"Selepas itu, model kereta berkenaan diuji kesan aerodinamik menggunakan mesin terowong angin," kata Feng Ng lagi.
Utusan Malaysia Online: 12 November 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan