|
|
JOHOR BAHRU 5 Nov. - Sebanyak RM115,225.45 berjaya dikumpul dalam tempoh dua minggu oleh semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di negeri ini untuk disumbangkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Bencana Gempa Bumi Padang.
PPD Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat antara PPD yang mengambil bahagian dalam program tersebut.
Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin berkata, walaupun pengumpulan dana diuruskan oleh PPD, kebanyakan sumbangan diperoleh daripada para pelajar.
Katanya, sumbangan yang paling banyak dikumpul adalah daripada PPD Pasir Gudang sebanyak RM20,360.05 yang bermula pada 12 hingga 26 Oktober lalu.
Menurutnya, jumlah kutipan yang diperoleh tidak menjadi persoalan, kerana yang penting adalah semangat ingin membantu di kalangan tenaga pengajar dan pelajar.
"Tujuan kita buat tabung ini bukan hendak menunjuk yang kita berjaya kumpul banyak wang. Sebaliknya bagi membuktikan yang para pelajar mempunyai semangat sedia membantu tanpa mengira bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Pelajaran Johor di Pusat Kokurikulum Tasek Utara di sini hari ini.
Menurut Sufa'at, pihaknya telah menghantar wakil ke Padang bagi meninjau bantuan yang boleh disalurkan untuk membantu penduduk di sana.
"Kalau boleh kami mahu salurkan dana itu untuk pembangunan sekolah di sana kerana wang yang diterima pun daripada pelajar. Tidak kiralah sama ada untuk pembangunan sekolah atau membeli peralatan sekolah.
"Buat masa sekarang kami sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara untuk pergi ke sana bagi menyampaikan sendiri sumbangan tersebut," katanya.
Beliau berkata, kutipan sebegitu akan diteruskan mengikut keadaan semasa kerana secara tidak langsung ia dapat mendidik para pelajar agar bersatu.
Utusan Malaysia Online: 6 November 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan