Isnin, 2 November 2009

Hari keluarga eratkan warga pendidik, kakitangan

LUMUT - Aktiviti riadah seperti hari keluarga sebenarnya penting untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pendidik dalam suasana yang lebih santai dan mesra.

Pengerusi Kelab Staf Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (STARS), Syahrul Azwan Muhamad berkata, tujuan utama hari keluarga diadakan adalah untuk membina satu bentuk hubungan yang akrab di kalangan guru dan kakitangan sekolah.

Menurutnya, hari keluarga ini merupakan antara program yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan warga pendidik kerana ia merupakan program khusus untuk mereka.

“Saya gembira dengan kerjasama semua pihak yang telah ditunjukkan untuk aktiviti ini kerana kejayaan sesuatu program bergantung kepada kerjasama yang ditunjukkan.

“Aktiviti seperti ini sebenarnya penting untuk mengekalkan hubungan yang sedia ada di kalangan guru di samping bertukar-tukar pandangan mengenai masalah yang dihadapi di sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Program selama dua hari itu dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti yang disediakan untuk ahli kelab dan keluarga sebagai pengisian hari keluarga yang diadakan.

Beliau berkata, bagi guru-guru yang baru ditempatkan di STARS, inilah masa yang sesuai untuk mereka mengenali rakan-rakan pendidik dan belajar sesuatu daripada mereka yang telah lama mengajar di sekolah itu.

Menurutnya, Kelab Staff sebenarnya penting dalam usaha merapatkan jurang di antara guru-guru di samping memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan keupayaan masing-masing dalam aktiviti yang disediakan.

Hari keluarga ini juga katanya, mampu mengurangkan tekanan guru-guru di sekolah yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar dan bebanan kerja yang ditanggung.

"Aktiviti yang turut mendapat sokongan daripada Alumni STARS ini juga akan terus diadakan pada masa akan datang jika matlamat program tercapai dan mendapat persetujuan bersama ahli kelab," katanya.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: