Jumaat, 13 November 2009

Insentif khas guru sekolah prestasi tinggi diperkenal

JITRA: Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan insentif khas kepada guru dan pentadbir semua Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diwujudkan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain itu, semua SBT yang diwujudkan juga akan diberikan kelonggaran merencana pentadbiran terutama dalam menetapkan kurikulum, pemilikan bajet serta pengurusan kakitangan berasaskan pencapaian, selaras usaha kerajaan mempromosikan persekitaran kerja berprestasi tinggi. "Sasaran utama kita adalah untuk meletakkan semua SBT sebagai penanda aras dalam soal kecemerlangan pendidikan, supaya menjadi contoh dan teladan kepada semua sekolah di negara ini.

"Malah dengan penanda aras ditetapkan, kita berharap ia akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak sekolah untuk meningkatkan kualiti masing-masing, sekali gus menjadi sekolah pilihan utama seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika merasmikan penutup Persidangan Kepimpinan Pendidikan dan Pengurusan Serantau di Institut Aminuddin Baki, di sini, semalam. Muhyiddin kemudian merasmikan bangunan baru Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.

Utusan Malaysia Online: 13 November 2009

Tiada ulasan: