Khamis, 5 November 2009

Guru lelaki ancam bunuh teman wanita

KUALA TERENGGANU: Akibat perasaan cemburu buta, seorang guru lelaki hilang pertimbangan hingga sanggup mengugut membunuh teman wanitanya yang juga seorang guru kerana tidak mahu mengikut menaiki keretanya untuk keluar makan bersama.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari di depan sebuah sekolah kebangsaan di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, di sini, suspek datang ke sekolah tempat guru wanita itu mengajar untuk mengajaknya keluar makan tetapi mangsa enggan menaiki kereta teman lelakinya itu, sebaliknya mahu ke tempat makan berkenaan dengan kereta berasingan.

Berang dengan penolakan itu, suspek kemudian menarik tangan mangsa masuk ke kereta dan mengeluarkan sebilah pisau serta memberi amaran untuk membunuh jika tidak mahu mengikutnya keluar makan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata mangsa dapat keluar dari kereta itu dan berlari masuk berlindung dalam kawasan sekolah tetapi suspek terus menunggu di tempat letak kereta itu.

Mohd Fauzi berkata, mangsa terpaksa menumpang kereta rakannya untuk keluar dari kawasan sekolah apabila melihat suspek masih menunggu, kira-kira jam 5 petang.

Katanya, guru wanita berusia 26 tahun yang berasal dari Kampung Bukit Petiti, Manir itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit mengenai teman lelaki yang mengugut membunuhnya dengan sebilah pisau.

Mohd Fauzi berkata, mangsa bersama polis kemudian ke kawasan sekolah dan menemui sebilah pisau sepanjang 13 sentimeter di tepi kereta guru wanita itu, tetapi suspek tiada di situ.

“Polis kemudian menahan seorang guru lelaki berusia 26 tahun di rumahnya di Kampung Beladau Kolam, Manir di sini kira-kira jam 8.30 malam,” katanya.

Berita Harian Online: 5 November 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau awal-awal dah perangai macam tu, baik lupakan sajalah. nnt hidup bak kata orang mcm dalam neraka.