Isnin, 9 November 2009

Ganti Pendidikan Moral

KUANTAN 8 Nov. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah menyarankan mata pelajaran Pendidikan Moral dimansuhkan dan digantikan dengan mata pelajaran 1Malaysia yang memberi lebih tumpuan kepada pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya mata pelajaran 1Malaysia diperkenalkan dengan merangkumi aspek kenegaraan, perpaduan, Rukun Negara dan semangat patriotisme seiring gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Melalui mata pelajaran 1Malaysia ini diharap dapat menyedarkan para pelajar betapa pentingnya perpaduan sesama kaum dan pada masa yang sama, mereka akan menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara dengan baik," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Koir Lagu- Lagu Patriotik 2009 antara Kelab Rukun Negara Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Bukit Gambang Resort di sini hari ini.

Menurut Murugiah, beliau akan memanjangkan cadangan itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menulis surat mengenai perkara itu kepadanya.

''Saya akan tulis surat kepada beliau agar dapat meneliti perkara ini, supaya topik 1Malaysia dapat digabung dan diteliti dengan keadaan masa sekarang.

''Sukatan pelajaran berkenaan perlu mengikut prinsip-prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara dan yang berkonsepkan 1Malaysia," ujarnya.

Murugiah berkata, beliau mengemukakan cadangan tersebut kerana sukatan pelajaran Pendidikan Moral pada masa ini dilihat tidak memberi penekanan sewajarnya terhadap perpaduan antara kaum.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru pihak berkaitan supaya mengkaji semula kandungan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilihatnya gagal mencapai sasaran ditetapkan.

''PLKN dilihat tidak mencapai sasaran apabila tiada kesinambungan di kalangan pelatih selepas berakhirnya program itu.

''Sebagai contoh, perlu diwujudkan Alumni PLKN dalam usaha mengeratkan hubungan dan perpaduan kaum sejajar dengan 1Malaysia," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 9 November 2009

Tiada ulasan: