Khamis, 5 November 2009

Victoria Institution contoh sekolah satu aliran

GAGASAN 1Malaysia tidak mungkin terlaksana tanpa penubuhan sekolah satu aliran. Bagaimana mungkin ia terjadi jika 12 tahun kanak-kanak berada di satu tempat iaitu: 1 tahun di peringkat prasekolah, 6 tahun sekolah rendah dan kemudian 5 tahun di sekolah menengah.

Bayangkanlah betapa akrabnya hubungan antara kaum jika sejak berumur 6 tahun mereka dapat bergaul mesra sehingga tingkatan 5 ketika mereka berumur 18 tahun.

Inilah ramuan atau formula paling mujarab untuk membentuk bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pemimpin-pemimpin politik yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mestilah jujur dan komited mahu benar-benar melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Janganlah hanya mementingkan kaum masing-masing tanpa mengutamakan kepentingan negara. Kita amat kecewa apabila anak-anak pergi ke sekolah yang berbeza, ibu bapa dan guru juga terpisah mengikut kaum kerana memilih sekolah yang berbeza atas kepentingan kaum masing-masing.

Sebenarnya model Sekolah Wawasan yang pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah model sekolah satu aliran yang paling praktikal.

Sebenarnya orang Cina dan India pun amat berminat dengan sekolah satu aliran ini tetapi para pendidik di kalangan kaum-kaum tersebut yang mempunyai sentimen perkauman yang amat menebal yang menentang idea yang baik ini.

Lihat sahaja Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik Sekolah Satu Aliran di negara ini.

Lihat sahaja semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu.

Lihat sahaja bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing secara sihat dalam pelajaran.

Guru-guru, staf juga mempunyai komposisi ketiga-tiga kaum ini. Begitu juga dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga diwakili oleh ketiga-tiga kaum.

Lihat sahaja betapa seronoknya pelajar bergaul mesra semasa bersukan dan apa juga kokurikulum yang lain.

Sekolah VI ini juga cemerlang dalam akademik. Mengapa semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India amat berminat dengan sekolah VI ini sedangkan ia adalah model sekolah satu aliran?

Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk sekolah satu aliran di negara ini.

Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum.

Mengapa sekolah VI sebagai sekolah satu aliran begitu berjaya dan dan mendapat sokongan semua kaum.

SEKOLAH SATU ALIRAN
Kuala Lumpur

Utusan Malaysia Online: 5 November 2009

Tiada ulasan: