Rabu, 11 November 2009

Penan: Ponteng sekolah serius

KUCHING 10 Nov. - Gara-gara tidak hadir dan keciciran pelajarnya, dua sekolah rendah yang menjadi tumpuan masyarakat Penan di Ulu Baram mencatatkan keputusan 0 peratus kelulusan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sait dan SK Long Lamei yang masing-masing mempunyai 82 dan 76 pelajar.

Masalah ketidakhadiran pelajar Penan di sekolah tersebut menggambarkan betapa kaum minoriti tersebut perlu diberi perhatian yang sewajarnya demi masa depan mereka.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Khas mengadakan Program Outreach Ulu Baram pada 2 hingga 7 November lalu.

Program yang julung-julung kali diadakan di Sarawak itu merupakan program lanjutan hasil kejayaan pelaksanaannya di Semenanjung pada 2007 dan 2008.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas kementerian itu, Yassin Ismail berkata, hasil yang diperolehi daripada program itu akan dibawa ke peringkat kementerian untuk diambil tindakan seterusnya.

''Program ini sebagai ruang dan peluang kepada kedua-dua pihak iaitu kementerian dan masyarakat Penan menyalurkan pendapat, cadangan dan juga kritikan membina bagi mengatasi masalah keciciran pelajar daripada melarat," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Objektif utama Program Outreach Ulu Baram 2009 adalah untuk mencari punca yang menjadi teras pada permasalahan ketidakhadiran pelajar Penan ke sekolah.

Antara teras permasalahan tersebut ialah faktor kewangan.

Punca utama kegiatan ekonomi masyarakat Penan masih bergantung pada hasil hutan dan juga sungai sebagai mata pencarian utama mereka.

Faktor itulah yang membataskan komitmen ibu bapa terhadap kemampuan untuk menghantar anak ke sekolah dan penyediaan peralatan sekolah yang lengkap bagi anak-anak mereka.

Guru Besar SK Long Lamei, Renly Gau memberitahu, kedudukan geografi yang jauh ke pedalaman menambahkan kesukaran untuk berhubung dengan pihak luar bagi memasarkan produk hutan tersebut.

"Oleh sebab itu kedudukan kewangan masyarakat Penan tidak menentu dan menyumbang terhadap masalah pembelian baju seragam, kasut dan buku rujukan anak-anak mereka seterusnya mengundang masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah," jelas beliau.

Masalah lain yang turut mendorong keciciran pelajar ke kelas ialah jarak tempat tinggal dengan sekolah seperti SK Long Sait yang mempunyai 82 orang murid merangkumi pelajar dari kawasan lain seperti Long Kerong dan Long Sepingen.

Kedua-dua kawasan ini terletak jauh dari kawasan sekolah dan memakan masa yang panjang untuk berjalan kaki merentasi hutan dan sungai.

Walaupun kemudahan asrama disediakan, pada cuti hujung minggu pihak sekolah tidak mampu menyediakan makanan harian kepada pelajar asrama atas kekangan kewangan.

Pelajar-pelajar sekolah terpaksa pulang ke kampung dan ada antara mereka yang tidak terus menghadiri sekolah kerana jarak perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama.

Yassin berkata, kementerian juga ingin mengenal pasti tahap kesedaran ibu bapa dan kanak-kanak terhadap kepentingan pendidikan itu sendiri.

''Ini kerana kebanyakan ibu bapa kanak-kanak tersebut tidak diberi pendedahan yang menyeluruh betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka.

''Terdapat ibu bapa atau penjaga yang langsung tidak bertanyakan perihal pelajaran anak-anak mereka di sekolah. Bagi mereka, hadir ke sekolah sudah mencukupi asalkan tanggungjawab menghantar anak-anak ke sekolah telah dilaksanakan," katanya.

Tambah Renly pula, ibu bapa pelajar Penan telah dimaklumkan ketidakhadiran dan kemerosotan pelajaran anak-anak tetapi malangnya ada kalangan ibu bapa hanya berdiam diri dan menyerahkan masalah tersebut kepada para guru.

Utusan Malaysia Online: 11 November 2009

Tiada ulasan: