Rabu, 4 November 2009

Sayangi Sekolah: Sekolah Impian Sabah

Oleh Basir Zahrom

SMK Tawau utamakan budaya ilmu, keterampilan

PEMBUDAYAAN ilmu dan berketerampilan menjadi fokus utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah, dalam usahanya melahirkan modal insan seimbang baik dari segi pengetahuan mahupun keperibadian.

Sehubungan itu, warga sekolah di daerah terkenal dengan jolokan ‘bumi peladang’ itu sentiasa mengamalkan budaya belajar, kerja dan pengurusan selaras dengan cogan katanya Sentiasa Menuju Kecemerlangan Terunggul.

Selaras dengan matlamat ingin melahirkan insan mencintai, menghayati, mengamalkan ilmu serta menyemai semangat cinta agama, negara, sahsiah diri dan kecemerlangan, kini nama SMK Tawau sebaris sekolah cemerlang lain.

Di bawah pimpinan Pengetuanya, Juriah Ahmad, sekolah itu terus meraih kecemerlangan baik dalam aspek akademik, kokurikulum mahupun sahsiah pelajarnya.

Beliau berpendapat, kejayaan sesebuah sekolah bukan bergantung kepada prasarana pendidikan sempurna dan tenaga pengajar cemerlang, tetapi lebih kepada sikap prihatin, selalu turun padang serta motivasi terutama di kalangan barisan pentadbirnya.

Katanya, Jabatan Pelajaran Sabah tidak tersilap percaturan memilih sekolah itu sebagai Sekolah Impian di negeri berkenaan tiga tahun lalu apabila SMK Tawau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Harian Bandar daripada Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

“Selain itu, sekolah ini juga merangkul Anugerah Khas Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah Bandar Peringkat Daerah dan Anugerah Khas Pengurusan Nilam Cemerlang 2009 Kategori Sekolah Menengah Bandar, baru-baru ini.

“Dari segi akademik, prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tahun lalu sangat memberangsangkan dengan kelulusan 100 peratus, Sijil Pelajaran Malaysia (98 peratus) dan Penilaian Menegah Rendah (83.2 peratus),” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Sebagai penerima Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (2007/2008) Peringkat Negeri Kategori Penghijauan Sekolah, SMK Tawau terkenal bukan saja dengan keindahan landskapnya, malah menerusi aktiviti kokurikulum, terutama pasukan unit beruniform.

Juriah menjelaskan, Pasukan Kor Kadet Polis sekolah itu sinonim sebagai pasukan terbaik di Tawau dan keunggulannya terserlah apabila menjadi Naib Johan Kawad Peringkat Negeri.

Selain berbangga dengan pencapaian sukan peringkat kebangsaan dalam permainan seperti skuasy, badminton dan bola jaring, sekolah itu tidak kurang hebatnya apabila berjaya mengekalkan gelaran Johan Olahraga Peringkat Daerah Tawau tiga tahun berturut-turut sejak 2007.

“Penyertaan peringkat antarabangsa bagi kelab dan persatuan dalam Pertandingan Australia Mathematics Competition turut menyuntik semangat warga sekolah mencapai visi menjadi antara sekolah terbaik di Sabah tahun depan.

“Semua kejayaan dikecapi sekolah ini bertitik tolak daripada penggemblengan tenaga semua warganya, kerjasama serta semangat 1Malaysia bagi melonjakkan prestasi sekolah ini.

“Kini, dengan azam tinggi, SMK Tawau akan terus mengorak langkah menggapai harapan menjadi sekolah pilihan utama bagi insan yang ingin mendapatkan kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.

INFO: Kejayaan SMK Tawau

  • Anugerah Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Harian Bandar Kementerian Pelajaran 2009
  • Sekolah Impian Sabah
  • Anugerah Khas Tokoh Nilam Kategori Sekolah Menengah Bandar Peringkat Daerah
  • Anugerah Khas Pengurusan Nilam Cemerlang 2009 Kategori Sekolah Menengah Bandar
  • Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (2007/2008) Peringkat Negeri Kategori Penghijauan Sekolah
  • Naib Johan Kawad Peringkat Negeri.
  • Johan Olahraga Peringkat Daerah Tawau tiga tahun berturut-turut sejak 2007
  • Penyertaan antarabangsa bagi kelab dan persatuan dalam Pertandingan Australia Mathematics Competition
Berita Harian Online: 4 November 2009

Tiada ulasan: