Rabu, 18 November 2009

Calon SPM, STPM Kedah tidak perlu khuatir mengenai banjir

ALOR SETAR 17 Nov. - Calon-calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini mulai esok tidak perlu bimbang mengenai persiapan pusat peperiksaan kerana tiada yang ditutup atau terjejas akibat banjir.

Pengarah Pelajaran negeri, Shahidan Abd. Rahman berkata, seramai 35,798 calon SPM di seluruh negeri boleh menduduki peperiksaan itu di kesemua 248 pusat yang disediakan.

Katanya, sejumlah 64 pusat peperiksaan yang disediakan untuk 3,997 calon STPM Kedah juga boleh digunakan mereka untuk menduduki kertas masing-masing.

"Sehingga petang ini tiada sekolah yang ditutup akibat banjir. Sekalipun ada sekolah yang akan dinaiki air pada saat-saat akhir, calon tidak perlu risau kerana kita telah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi segala kemungkinan.

"Kita juga berpengalaman berdepan dengan situasi seumpama ini. Calon-calon akan dibantu daripada segala aspek bagi memastikan persiapan untuk menduduki peperiksaan itu tidak terjejas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Banjir yang melanda Kedah sejak 7 November lalu sehingga petang ini telah mengakibatkan lebih 1,600 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Dalam pada itu, Shahidan menasihatkan calon dan waris mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dan memaklumkan segera kepada pihak yang terlibat jika pelajar mempunyai masalah seperti sukar sampai ke pusat peperiksaan akibat bencana alam itu.

Bagi calon yang menghidap atau disyaki menghidap wabak Influenza A (H1N1) pula, katanya, mereka hendaklah menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi menduduki peperiksaan.

"Langkah-langkah ini penting bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk mengelakkan calon berdepan masalah menduduki peperiksaan berkenaan,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 November 2009

Tiada ulasan: