Selasa, 10 November 2009

Johor: AlAttas AlArabiah perlu guru terlatih

Oleh Amad Bahri Mardi
bhnews@bharian.com.my

JPNJ pelawa pendidik jadi tenaga pengajar sekolah agama bantuan kerajaan

ULU TIRAM: Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) mempelawa guru terlatih yang berminat untuk mengajar dan pindah masuk ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) AlAttas AlArabiah, Ulu Tiram untuk membuat permohonan bagi dipertimbangkan.

Tawaran itu dibuat sejajar hasrat JPNJ yang mahu menjadikan sekolah berusia 95 itu menjadi SABK terbaik dalam negeri ini dan peringkat kebangsaan. Satu usaha secara bersepadu juga sudah mula dijalankan untuk meningkatkan kualiti pencapaian akademik dan kokurikulum sekolah berkenaan.

Pengarahnya, Sufa’at Tumin, berkata Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Gudang, Pejabat Pelajaran Johor Bahru, serta kepakaran guru sekolah berasrama penuh serta Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di negeri ini juga diminta membantu menjayakan usaha itu.

Beliau berkata, selepas tiga tahun mendaftar di bawah Kementerian Pelajaran, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) AlAttas AlArabiah, Ulu Tiram sudah membuktikan kecemerlangan akademik.

Sehubungan itu, satu usaha ke arah kegemilangan sekolah itu wajar digerakkan secara serius oleh JPNJ untuk memastikan sekolah itu mendapat kemudahan prasarana yang sempurna dan mampu melonjakkan pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajarnya.

“Mengikut perkiraan tahun hijrah, saya dimaklumkan sekolah itu akan menyambut ulang tahun ke-100 pada Disember tahun hadapan. Sejajar usia itu, saya mencadangkan supaya satu program bersepadu dan serius dijalankan untuk menaik taraf sekolah itu menjadi sekolah cemerlang.

“JPNJ serius hendak membantu sekolah itu untuk menjadikan sebagai SABK contoh dalam negeri ini dan peringkat kebangsaan. Ia sekali gus boleh menarik minat 24 sekolah agama rakyat (SAR) lain di negeri itu untuk berdaftar terus di bawah Kementerian Pelajaran,” katanya.

Katanya, sejak Februari lalu pihaknya sudah menyusun strategi untuk memberi bantuan secukupnya kepada sekolah berkenaan termasuk kemudahan prasarana, penempatan guru terlatih dan bantuan khidmat teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Untuk memastikan guru dan pelajar di situ mendapat pendedahan dalam proses pengajaran dan pengajaran yang cemerlang, pihaknya mahu menempatkan guru cemerlang dan guru penanda kertas peperiksaan awam di sekolah berkenaan.

Sufa’at berkata demikian selepas mengadakan pemantauan projek pembinaan dewan makan di SABK AlAttas AlArabiah, Ulu Tiram baru-baru ini. Turut sama dalam lawatan itu ialah pegawai Jabatan Pelajaran Johor, Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang dan pengetua sekolah itu, Arifin Mohd Salleh.

Arifin berkata, sekolah itu diasaskan oleh ulama Arab, Habib Hassan Ahmad AlAttas yang mula membina Madrasah Alattas Alarabiah pada 1913 sehingga Julai 1993. Bangunan awal madrasah terletak di Bukit Timbalan, Johor Bahru kemudian berpindah ke Bukit Seri Kopi, Kampung Habib Hassan dan Wadi Hana sebelum beroperasi di kilometer 23, Jalan Kota Tinggi-Ulu Tiram sekarang.

Beliau berkata, sekolah itu mempunyai pelajar 220 orang membabitkan Tingkatan 1 hingga 6, dan menawarkan pelajarnya mengambil mata pelajaran aliran Arab dan akademik.

Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan, di samping Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Berita Harian Online: 10 November 2009

Tiada ulasan: