Isnin, 2 November 2009

Jejak Sejarah Rimup hargai erti perpaduan

KAMPUNG BARU – Sekolah memainkan peranan yang cukup besar bagi mewujudkan modal insan yang berkualiti untuk negara dan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (Rimup) 2009 pelbagai aktiviti diatur untuk mencapai matlamat utamanya.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Zakaria Hamzah, dalam usaha untuk menanam dan membentuk kewujudan perpaduan dalam diri setiap murid sekolah terutamanya sekolah rendah, pengetahuan dan pemahaman mengenai sejarah Malaysia merupakan antara yang perlu diterapkan lebih awal dalam diri mereka.

Menurutnya, walaupun dalam sesi sekolah rendah tidak ada subjek yang spesifik mengajar tentang sejarah Malaysia, sudah menjadi tanggungjawab dan peranan guru untuk menerapkan nilai dan unsur sejarah dalam pembelajaran mereka.

“Seorang guru haruslah kreatif untuk menyampaikan maklumat sejarah kepada murid walaupun beliau merupakan seorang guru bahasa Malaysia ataupun guru Sains.

“Mengenal sejarah dapat membentuk rasa sayang antara sesama kaum kerana itu memang hakikatnya bahawa kita semua saling bekerjasama memperjuangkan kemerdekaan dan kemakmuran negara sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Remup Jejak Sejarah.

Hamzah berkata, program Remup Jejak Sejarah akan membawa murid menjelajah ke seluruh ruang ilmu yang ada di dalam muzium Tentera Darat.

Katanya, untuk memastikan pelajar benar-benar memanfaatkan gerbang ilmu sejarah itu, mereka diberikan tugasan berbentuk kuiz.

Selain itu, mereka harus meneliti semua maklumat yang dipamerkan di muzium untuk memperoleh jawapan kepada kuiz diberikan.

“Pelajar dibentuk dalam beberapa kumpulan yang terdiri daripada ketiga-tiga sekolah yang menyertai program ini kali ini.

Mereka perlu bekerjasama untuk mendapatkan maklumat itu dan mereka yang memperoleh jawapan yang tepat akan diberikan hadiah,” katanya.

Menurutnya, selain dapat menyemai perpaduan dalam setiap kumpulan, mereka juga dapat mendalami sejarah Malaysia melalui pembacaan mereka ketika mencari jawapan dalam soalan kuiz itu.

Sementara menurut murid SK Si Rusa, Mohd Hafizudin Shahrunizam, 12, soalan kuiz yang diberikan guru membantu mereka untuk meneliti satu persatu maklumat yang ada.

“Jika hanya diadakan sesi lawatan, kami pun tidak akan seteliti itu membaca maklumat.

“Saya akan lebih memerhati gambar dan perhiasan yang diadakan untuk membawa pengunjung seperti ke zaman peperangan,” katanya.

Pendapat ini turut disokong seorang lagi murid daripada SJK(T) Kem Askar Melayu, P Pugumiswary, 12.

Katanya, banyak maklumat yang mereka peroleh dalam lawatan ini.

Selain membaca untuk mencari jawapan kepada soalan kuiz, mereka juga dapat melihat patung, terowong bawah tanah, kapal laut, kenderaan perang dan suasana peperangan.

“Seronok dapat menyertai lawatan ini sambil mencari jawapan soalan kuiz, ia seperti pertandingan mencari harta karun sahaja,” katanya.

Manakala murid SK Kampung Baru, Mohd Raihan Zakaria,12, pula menyifatkan lawatan ke Muzium Tentera Darat itu sedikit sebanyak menanam minatnya untuk menjadi seorang tentera apabila dewasa kelak untuk berbakti kepada negara menjaga keamanan dan kesejahteraan Malaysia.

Seramai 60 murid dari tiga sekolah diiringi beberapa guru pengiring melawat Muzium Tentera Darat.

Selain Jejak Sejarah, aktiviti lain yang dijalankan ialah sambutan Deeparaya dan aktiviti membuat Kolum Ranggoli.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: