Isnin, 2 November 2009

Majlis graduasi tingkat motivasi diri

KUALA TERENGGANU - Majlis graduasi yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manir dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar pada saat akhir sebelum peperiksaan.

Pengetua SMK Manir, Hassan Awang Mat berkata, majlis itu diadakan sempena meraikan kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selain penghargaan, majlis graduasi ini dapat menaikkan semangat pelajar lain untuk berazam mendapat kejayaan seperti rakan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi berkenaan.

Menurutnya, dengan adanya majlis itu, ibu bapa juga akan lebih prihatin terhadap pelajaran anak dan menekankan kejayaan mereka supaya mendapat pelbagai anugerah membanggakan keluarga.

Hassan berkata, penghargaan yang diberikan itu berdasarkan kejayaan mereka, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum.

“Ia membuktikan pelajar yang aktif dalam persatuan ataupun sukan, tidak pernah mengabaikan pelajaran walaupun sibuk dengan aktiviti luar kelas.

“Mereka juga berjaya menjadi antara pelajar terbaik mengalahkan rakan lain. Inilah yang membanggakan sekolah,” katanya.

Menurutnya, program julung kali diadakan itu akan diteruskan pada tahun berikutnya kerana banyak kesan positif yang dapat diperoleh pelajar dan guru serta ibu bapa.

Sementara itu, seramai 279 pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas diberi sijil penganugerahan masing-masing.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Manir, Datuk Abdul Rahin Datuk Mohd Said.

:Hadir sama, beberapa Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Terengganu, diketuai Tengku Mohd Yusof Tengku Mansor.

Sinar Harian: 2 November 2009

Tiada ulasan: