|
|
KUALA TERENGGANU 15 Nov. - Setiap kali ada pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan yang membabitkan penyertaan para pelajarnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belara, dekat sini tidak pernah melepaskan peluang menghantar penyertaan.
Uniknya, bukan setakat satu atau dua penyertaan bahkan melibatkan ribuan pelajarnya.
Usaha berterusan pihak sekolah menggalakkan budaya bersaing itu akhirnya berbaloi apabila diumumkan sebagai pemenang penyertaan terbanyak kategori sekolah bagi Pertandingan Seni Jawi Nusantara.
Pertandingan itu dianjurkan akhbar Utusan Melayu Mingguan dan Institut Skill-Tech (Skill-Tech), sebuah institut latihan kemahiran bumiputera di Melaka.
SMK Belara yang mempunyai 2,249 orang pelajar dari tingkatan satu hingga enam itu menghantar sebanyak 4,200 penyertaan daripada 6,000 penyertaan yang diterima oleh pihak penganjur sepanjang tempoh pertandingan, September lalu.
Satu majlis penyampaian hadiah kemenangan diadakan di sekolah berkenaan hari ini sempena majlis 'Restu Kasih Ibu Bapa dan Guru' melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), minggu depan.
Hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Malek dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff kepada Pengetua SMK Belara, Abdullah Mamat.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Azhar Abu Bakar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Belara, Ketua Biro Utusan Malaysia Terengganu, Wan Ramli Wan Mohamad, guru-guru dan ibu bapa pelajar sekolah berkenaan.
Menceritakan mengenai penyertaan terbanyak sekolah itu, Abdullah berkata, ia hasil kerjasama para pelajar dan guru-guru Pendidikan Islam serta Pendidikan Seni Visual yang menjadi penyelaras bagi memastikan seramai mungkin pelajar menyertainya.
''Di samping mengajar jawi, guru-guru tersebut juga meminta para pelajar menyertai pertandingan tersebut dan mengumpulkan segala hasil karya sebelum menghantarnya kepada pihak penganjur," katanya.
Abdullah mengucapkan tahniah kepada para pelajarnya dan terima kasih kepada guru-guru yang banyak memberi kerjasama dan komitmen sehingga membolehkan sekolah tersebut mencatat kejayaan itu.
''Sekolah ini juga banyak kali menjadi juara dalam beberapa pertandingan peringkat daerah dan negeri. Jika tidak menang pun, sekurang-kurangnya para pelajar dapat menyerlahkan bakat masing-masing dalam pelbagai bidang," katanya.
Sementara itu, Nordin pula berkata, pihaknya akan meneruskan usaha meningkatkan martabat tulisan jawi melalui pelbagai kaedah supaya tulisan warisan orang Melayu itu tidak terkubur begitu sahaja.
Ia juga bertujuan melahirkan jati diri dalam kalangan para pelajar.
Utusan Malaysia Online: 16 November 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan