Khamis, 12 November 2009

20 guru diugut bunuh diberi kaunseling

Datuk Asariah Mior Shaharuddin (kanan) melihat buku
yang dipamerkan sempena seminar." title="TATAP...Puad ditemani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran,
Datuk Asariah Mior Shaharuddin (kanan) melihat buku
yang dipamerkan sempena seminar." border="0" height="168" width="300">
TATAP...Puad ditemani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran,
Datuk Asariah Mior Shaharuddin (kanan) melihat buku
yang dipamerkan sempena seminar.

IPOH: Kira-kira 20 guru yang diselubungi trauma akibat diugut bunuh susulan insiden jambatan runtuh di Kuala Dipang 26 Oktober lalu, akan diberikan kaunseling oleh Kementerian Pelajaran bagi meredakan tekanan yang dialami.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Puad Zarkashi, berkata guru yang terbabit secara langsung dalam tragedi itu mengalami tekanan akibat sikap ibu bapa peserta perkhemahan yang menyalahkan guru berikutan insiden itu.

“Mereka (guru) akan diberi kaunseling supaya mereka juga berasa bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran rumit.

“Bagaimanapun, saya pertahankan bahawa guru tidak patut dipersalahkan kerana kejadian itu bukan akibat kelalaian guru tapi sebaliknya berlaku secara mengejut,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan 2009, di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan akhbar dikeluarkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa guru yang terbabit dalam kejadian itu mengalami trauma akibat diugut bunuh dan pukul oleh ibu bapa.

Beliau menasihatkan guru yang diganggu termasuk menerima ugutan bunuh oleh mana-mana pihak sehingga keselamatan mereka terancam supaya membuat laporan polis.

“Dalam kejadian itu, saya mendapat maklumat daripada murid yang terselamat ada juga guru yang bertindak menyelamat mereka dan pada masa sama memberi semangat kepada murid,” katanya.

“Saya akan mencadangkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri supaya mengadakan satu majlis untuk memberi penghargaan kepada guru ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga murid lemas apabila jambatan gantung yang digunakan tiba-tiba runtuh ketika mengikuti Kem Perkhemahan 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah, Kuala Dipang di Kampar.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya memastikan mana-mana murid atau pelajar yang ingin mengikuti apa juga program dianjurkan pihak sekolah supaya mendapat kebenaran daripada ibu bapa terlebih dulu.

“Pihak sekolah juga perlu memeriksa semula surat kebenaran berkenaan untuk memastikan murid berkenaan benar-benar mendapat keizinan daripada ibu bapa mereka,” katanya.

Zarkashi juga menyelar tindakan pihak pembangkang yang sengaja memainkan isu itu untuk kepentingan mereka sendiri sedangkan mereka tidak mengetahui punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Kementerian sudah menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji punca kejadian itu berlaku dan laporan penuh tragedi berkenaan akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum diberitahu kepada umum,” katanya.

myMetro: 12 November 2009

Tiada ulasan: