Selasa, 17 November 2009

Guna air kitar semula jimat bil sekolah



Pengetua, guru-guru penasihat dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih bersama replika cek setelah muncul naib johan pada pertandingan 'BP myScience Challenge 2009' peringkat kebangsaan di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 16 Nov. - Usaha sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, di sini yang sanggup menadah air hujan dan air penghawa dingin untuk dikitar semula, membuahkan hasil apabila mereka muncul naib johan pada pertandingan 'BP myScience Challenge 2009' peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Kumpulan pelajar terbabit juga sanggup mengelilingi bangunan sekolah selepas waktu persekolahan semata-mata untuk menutup lampu atau kipas yang dibiar terpasang bagi menjimatkan tenaga elektrik.

Berkat usaha selama kira-kira lapan bulan bermula Mac lalu, kumpulan yang terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dan empat itu berjaya membantu sekolah mengurangkan bil bulanan elektrik dan air antara dua hingga tiga peratus seterusnya membawa kepada kemenangan pada pertandingan tersebut.

Menurut guru penasihat mereka, Hasmah Rahmad, secara purata SMK Air Putih yang mempunyai 1,700 pelajar dan 114 guru, membayar purata bil elektrik RM3,000 dan air RM600 setiap sebulan.

Beliau berkata, bagi memenuhi matlamat pertandingan yang menetapkan sekolah menganjurkan aktiviti memulihara alam sekitar untuk mengurangkan kesan pemanasan global, pihak sekolah melalui kumpulan pelajar terbabit mengambil beberapa inisiatif termasuk menadah air hujan dan air daripada saluran penghawa dingin untuk dikitar semula.

"Kita gunakan semula air tersebut untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk menyiram pokok," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan pelajar terbabit juga aktif mempromosikan kempen kitar semula dalam setiap aktiviti sekolah seperti sambutan hari sukan dengan setiap rumah sukan digalak menggunakan bahan kitar semula dalam membuat hiasan.

Sementara itu, ketua kumpulan pelajar terbabit, Athirah Ahmad Mazlan berkata, dia dan enam lagi rakannya sanggup mengelilingi bangunan sekolah untuk menutup lampu dan kipas yang dibiarkan terpasang bagi mengelak pembaziran selepas waktu persekolahan.

"Kami juga mengedarkan risalah dan menampal poster untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakan-rakan pelajar mengenai kepentingan memulihara alam sekitar melalui penjimatan dalam penggunaan tenaga dan air," katanya.

Selain itu katanya, mereka juga menggunakan pendekatan 'memujuk' melalui hubungan erat sesama pelajar untuk menarik minat pelajar lain terlibat dalam menjayakan kempen tersebut.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Air Putih, Chim Siew Wai berkata, kejayaan pelajar terbabit harus dipuji dan dicontohi oleh pelajar lain serta masyarakat dalam memulihara alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

"Penglibatan pelajar dalam pertandingan itu sebenarnya meningkatkan kesedaran mereka mengenai alam sekitar dan mengambil tindakan untuk memuliharanya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 17 November 2009

Tiada ulasan: