Selasa, 3 November 2009

PIBGN saran perkasakan sekolah kebangsaan

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

Ia mampu merealisasikan sasaran sekolah satu aliran

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan sekolah satu aliran dapat diwujudkan dengan memperkasakan kembali sekolah kebangsaan sedia ada.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata sekolah kebangsaan seharusnya menjadi pilihan utama masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk menghantar anak mereka menimba ilmu.

"Apabila sekolah kebangsaan diperkasakan, ibu bapa tidak akan menghantar anak mereka ke sekolah lain. Kerajaan juga perlu lebih terbuka dengan memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Tamil dan juga Mandarin.

"Jika ini dilaksanakan dan pelajar berlainan bangsa tidak dihalang untuk mempelajari bahasa lain, sekolah kebangsaan sebenarnya sudah menjadi sekolah satu aliran. Kakitangan sekolah juga perlu menggambarkan wajah masyarakat majmuk.

"Kita tidak mahu Bahasa Tamil hanya dipelajari oleh orang India, Mandarin oleh orang Cina saja, kita mahu semua bangsa boleh mempelajari bahasa ini dengan terbuka. Apabila ini berlaku ia akan mengeratkan hubungan perpaduan serta mengelakkan kecurigaan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Baru-baru ini tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim, mencadangkan kerajaan menyusun semula sistem pendidikan negara dengan melaksanakan sekolah satu aliran bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensitiviti rakyat di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata isu sekolah satu aliran tidak perlu diperdebatkan dan sepatutnya dilaksanakan tahun depan.

Berita Harian Online: 3 November 2009

Tiada ulasan: