Sabtu, 7 November 2009

Tokoh guru kebangsaan meninggal dunia

SEREMBAN 6 Nov. - Tokoh Guru peringkat kebangsaan pada tahun 1981, Datuk Md. Yusof Badin , 93, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar di sini pada Sabtu lalu kerana sakit tua.

Anaknya, Khair Anuar Md. Yusof, 63, yang datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, Allahyarham bapanya itu telah dimasukkan ke hospital berkenaan dua hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

"Arwah bapa saya koma selama dua hari dan meninggal dunia pada 31 Oktober lalu, iaitu hari Sabtu pada pukul 12.15 tengah hari," katanya yang merupakan seorang pesara guru.

Allahyarham Md. Yusof merupakan seorang pejuang bahasa dan banyak melakukan kajian dalam bidang pendidikan sehingga mendapat anugerah Tokoh Guru Negeri Sembilan pada tahun 1987.

"Sepanjang hidup Allahyarham, dia banyak memperjuangkan masa hadapan guru dan pendidik di negara ini melalui Kesatuan Persatuan Guru Melayu Semenanjung (KPGM)," katanya.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Allahyarham Md. Yusof ialah guru besar, Setiausaha Agung KPGM, Setiausaha Kerja UMNO Negeri Sembilan selain menyertai pelbagai aktiviti kebajikan dan sukarela.

"Saya berharap rakan Allahyarham mendoakan kesejahteraan roh bapa saya dan mengetahui perkembangan ini kerana sebelum ini ramai yang bertanyakan kesihatan arwah dan terkejut apabila dimaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

Allahyarham meninggalkan lapan orang anak, 29 cucu dan 10 orang cicit dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran Kampung Masjid, Lenggeng dekat sini.

Utusan Malaysia Online: 7 November 2009

Tiada ulasan: