Sabtu, 21 November 2009

'Permata hati' Baharudin


Murid-murid tahun 6 bersalaman dengan para guru pada hari terakhir sesi cuti persekolahan penggal ketiga di SK Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 20 Nov. - Gayanya mengalahkan seorang selebriti kerana ke mana sahaja Baharudin Abd. Wahid, 56, pergi pasti ada yang ingin bersalaman dengannya.

Meskipun sibuk dengan tugasan hakiki, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram itu tidak pernah menghampakan permintaan anak muridnya yang pelbagai kaum itu untuk bersalaman dengannya.

Baharudin berkata, budaya bersalaman dengan guru mula dipraktikkan di sekolah berkenaan menerusi program Salam Sayang sejak 2006, ketika dia mula bertugas di sekolah tersebut.

''Kalau murid disogok dengan ilmu tanpa menitik beratkan soal modal insan tidak guna juga. Biar kedua-duanya berjalan serentak," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis Permata Gemilang meraikan kejayaan murid dalam Ujian Pencapaian sekolah rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Beliau yang lebih 32 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan turut menerapkan program Bijak Sifir, Penulisan Bijak, Satu Hari Satu Karangan dan Perbendaharaan Bergerak demi kejayaan murid-murid sekolah berkenaan.

Katanya, untuk Bijak Sifir, setiap murid dari tahun satu hingga enam harus menghafal sifir dalam bahasa Inggeris dan membacanya di hadapan 33 orang guru.

''Setiap murid ada kad sifir sendiri untuk ditandatangani oleh guru yang dipertanggungjawabkan.

''Murid boleh hafal dan baca di hadapan guru pada bila-bila masa sebelum guru berkenaan menurunkan tandatangan," katanya.

Menurut Baharudin, kesan daripada program tersebut kebanyakan murid lancar sifir kerana masing-masing berlumba untuk memenuhi kad sifir berkenaan.

Untuk program Perbendaharaan Bergerak pula katanya, setiap murid diberi satu perbendaharaan dalam bahasa Inggeris untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu.

''Murid tahun satu hingga tiga perlu cari lima perbendaharaan setiap hari dan 10 perbendaharaan sehari untuk murid tahun empat hingga enam.

''Setiap murid kemudiannya bertukar-tukar perbendaharaan dengan rakan-rakan bagi menambahkan bilangan perbendaharaan kata masing-masing," jelasnya.

Beliau berkata, hasil daripada penerapan program berkenaan dan dedikasi para guru, keputusan peperiksaan UPSR tahun ini meningkat lima peratus.

Pada tahun ini seramai 220 murid menduduki UPSR dengan 25 orang memperoleh 5A dan 14 murid mendapat 4A 1B.

Beliau yang sentiasa mengingatkan guru agar mengajar murid ibarat ibu bapa mendidik anak itu sanggup mengeluarkan wang saku sendiri bagi memastikan 'permata hatinya' bersemangat belajar.

''Budak-budak ini perlu motivasi. Kalau kita hargai usaha atau kejayaan mereka, pasti masing-masing bersemangat untuk membuat lebih baik," katanya.

Justeru, walaupun sudah penghujung sesi persekolahan, kehadiran murid-murid di sekolah berkenaan sentiasa penuh kerana masing-masing bersemangat untuk belajar mata pelajaran baru.

Katanya, tiga minggu sebelum cuti sekolah, murid-murid akan diajar dengan mata pelajaran tahun akan datang.

Utusan Malaysia Online: 21 November 2009

Tiada ulasan: