Khamis, 19 November 2009

Banjir: Sekolah perlu sediakan bilik alternatif

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kementerian Pelajaran meminta semua sekolah menyediakan pusat peperiksaan alternatif untuk calon peperiksaan SPM sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada pengetua sekiranya sekolah terpaksa ditutup memandangkan ancaman banjir masih berlaku terutamanya di Perak.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga telah dimaklumkan supaya mengambil langkah awal dengan menyediakan bilik peperiksaan di tingkat satu terutamanya di kawasan yang mudah dinaiki air.

"Jabatan Pelajaran Negeri juga telah diminta beroperasi seawal 6.45 pagi hingga 7 petang bagi membolehkan ibu bapa bertanya mengenai perkembangan perjalanan peperiksaan.

"Kita juga telah memberikan taklimat kepada semua pihak terutama pengetua tentang garis panduan Operasi Payung untuk menghadapi ancaman banjir ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak dan Ketua Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr. Salbiah Ismail.

Seramai 465,853 calon menduduki SPM tahun ini di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara. Selangor mempunyai bilangan calon paling ramai iaitu sebanyak 70,290 orang.

Mengenai keadaan banjir di Perak, Mohd. Puad memberitahu, semua 131 calon SMK Alor Pongsu telah dipindahkan ke asrama SMK Teknik Kerian bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan di situ.

Jelasnya, ini berikutan calon-calon tersebut menghadapi kesukaran untuk datang ke pusat peperiksaan disebabkan rumah mereka telah dinaiki air.

Mengenai persediaan menghadapi penularan selesema babi atau influenza A (H1N1) ketika musim peperiksaan, katanya, pihak kementerian telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan penutup mulut dan hidung, pencuci tangan dan jangka suhu untuk mengimbas suhu badan sekiranya ada tanda-tanda jangkitan.

Mohd. Puad memberitahu, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai calon SPM dijangkiti H1N1.

"Sekiranya terdapat calon mempunyai simptom penyakit berjangkit ini mereka akan diasingkan atau dimasukkan ke hospital.

"Calon-calon ini nanti akan dibenarkan untuk mengambil peperiksaan di sana ," ujarnya.

Beliau berharap calon-calon SPM akan dapat menjawab soalan peperiksaan tanpa sebarang masalah.

Utusan Malaysia Online: 19 November 2009

Tiada ulasan: