Rabu, 25 November 2009

Bakal guru wajib akujanji?


DR. Puad Zarkashi (kanan) berbual mesra dengan pelajar-pelajar terbaik kursus perguruan selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 24 Nov. - Bakal guru mungkin diwajibkan menandatangani akujanji sanggup mengajar di kawasan pedalaman untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, syarat yang sedang dipertimbangkan itu bertujuan memastikan guru-guru yang baru berkhidmat di pedalaman tidak merayu untuk berpindah.

''Sebagai contoh, kebanyakan guru dari Kelantan dan Terengganu yang baru berkhidmat empat bulan dan dihantar ke pedalaman sudah minta berpindah.

''Ini benar, di Kelantan ada 54 kekosongan, yang mohon hendak balik 1,312 orang, jadi bila ada rungutan oleh guru yang sudah 10 tahun mengajar di Sarawak, sudah tentu tiada kekosongan di negeri itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di sini hari ini.

Puad menegaskan, dalam situasi sekarang, tempoh perkhidmatan tidak lagi diambil kira sebaliknya faktor kekosongan dan keperluan di sesebuah negeri menjadi keutamaan.

''Sekarang ini kita cadangkan letak syarat akujanji, kalau sanggup baru kita ambil bekerja, jangan nanti tak sampai enam bulan sudah merayu-rayu, kita juga yang susah.

''Jadi, selepas ini kalau sudah turunkan tandatangan, tetapi kemudian minta tukar, kita tak akan layan kecuali kes kritikal seperti faktor kesihatan," katanya.

Menurutnya, akujanji tersebut bukan bertujuan memberi tekanan kepada para guru tetapi menuntut mereka memahami bidang tugas dan tanggung jawab dari perspektif masyarakat tanpa memikirkan kepentingan diri semata-mata.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Puad menasihatkan ibu bapa yang anak mereka memperoleh keputusan cemerlang 5A tetapi gagal memasuki sekolah berasrama penuh agar tidak kecewa.

Ini kerana anak-anak mereka masih berpeluang memasuki kelas khas di sekolah kluster, sekolah cemerlang dan sekolah harian.

''Mereka akan mendapat suasana pembelajaran yang sama dengan asrama penuh, cuma bezanya tidak tinggal di asrama dan yang penting kekalkan semangat dan kecemerlangan akademik," katanya.

Pada tahun ini seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh 5A sedangkan kekosongan yang ditawarkan di sekolah berasrama penuh termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekitar 12,000 tempat.

Utusan Malaysia Online: 25 November 2009

Tiada ulasan: