Rabu, 4 November 2009

8,838 murid gagal kuasai 2M

Oleh Nasuha Badrul Huzaini
bhnews@bharian.com.my

Jabatan Pendidikan Pahang rangka program sesuai atasi masalah

KUANTAN: Seramai 8,838 pelajar sekolah rendah di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini dikesan gagal menguasai kemahiran menulis dan membaca (2M) sehingga menyebabkan mereka menghadapi masalah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata daripada jumlah itu, 4,091 pelajar terdiri daripada pelajar Tahun Satu, 2,786 pelajar Tahun Dua dan 1,961 pelajar Tahun Tiga.

“Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Pelajaran negeri, kami mendapati jumlah pelajar yang gagal menguasai kemahiran itu adalah tinggi dan pihak jabatan sudah mengambil tindakan sewajarnya seperti merangka program yang bersesuaian bagi membantu mereka menguasai kemahiran 2M.

"Antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan kelas pemulihan untuk pelajar bermasalah itu dan pihak kami mendapat kerjasama guru pelatih dari maktab perguruan di Lipis bagi tujuan berkenaan.

"Ini penting kerana setiap pelajar Tahun Satu perlu menguasai kemahiran itu bagi membolehkan mereka melangkah ke Tahun Dua dan seterusnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Membaca 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kegagalan pelajar menguasai kemahiran 2M itu juga menjadi cabaran terbesar kepada guru di negeri ini dan beliau berharap mereka dapat mencari pendekatan yang sesuai bagi mengatasi masalah itu.

"Kementerian Pelajaran menetapkan kemahiran membaca sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan adalah memastikan semua pelajar yang akan memasuki Tahun Empat mampu menguasai kemahiran 2M itu menjelang tahun 2012.

"Pihak jabatan yakin kami mampu mencapai sasaran yang ditetapkan pihak kementerian itu supaya P&P dapat dijalankan secara berkesan," katanya.

Sementara itu, beliau juga menyarankan supaya hubungan erat antara ibu bapa dan guru dapat dipupuk bagi membolehkan segala masalah berkaitan pelajaran pelajar dapat diselesaikan dengan baik.

"Ibu bapa harus mendidik anak mereka supaya mencintai ilmu pengetahuan dan guru pula berperanan penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran, maka kerjasama kedua-dua pihak ini penting bagi menghasilkan pelajar yang berkualiti," katanya.

Berita Harian Online: 4 November 2009

Tiada ulasan: