Isnin, 2 November 2009

SMK Seri Serating juara pertandingan mural



Guru-guru dan pelajar SMK Seri Serating bergambar berlatar belakangkan lukisan mural yang diumumkan sebagai johan Pertandingan Mural Kategori Sekolah Menengah sempena Program Pendidikan Kebersihan Peringkat Terengganu 2009 semalam.


MARANG 1 Nov. - Hasil kreativiti melukis mural dengan mesej bekerjasama dalam menjaga kebersihan membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serating di sini muncul johan Pertandingan Mural Kategori Sekolah Menengah sempena Program Pendidikan Kebersihan Peringkat Terengganu 2009.

Mural yang dihasilkan oleh lima pelajar tingkatan empat dan lima lukisan visual bersama guru itu turut memaparkan monumen yang sinonim dengan Terengganu iaitu penyu dan perahu payang.

Kejayaan mengalahkan 135 sekolah menengah dari seluruh negeri itu membolehkan SMK Seri Serating menerima hadiah wang tunai RM2,000, pingat dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman pada satu majlis di Kuala Terengganu hari ini.

Pengetua SMK Seri Serating, Kadir Othman berkata, ia merupakan satu penghargaan ke atas usaha yang ditunjukkan oleh pelajar dan guru dalam memupuk budaya mementingkan kebersihan di sekolah ini.

Beliau berkata, idea mural tersebut mula dibentuk apabila pertandingan tahunan itu dimulakan pada awal tahun dan dinding dewan sekolah dipilih sebagai tempat untuk melukis mural berkenaan.

''Reka bentuk acuan lukisan tersebut disiapkan dengan menggunakan komputer oleh guru lukisan visual, Mohd. Kassim Shahabu pada Mac lalu.

''Mereka mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkan mural tersebut selepas acuan tersebut disiapkan," ujarnya.

Utusan Malaysia Online: 2 November 2009

Tiada ulasan: