Isnin, 2 November 2009

Pengetua, guru disaran giat usaha

SEREMBAN 1 Nov. - Kesemua pengetua dan guru besar di negeri ini disaran supaya menggiatkan usaha mencapai taraf sekolah berprestasi tinggi menjelang tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan mencapai penarafan berkenaan berupaya memberi lonjakan baru kepada sekolah-sekolah masing-masing.

Jelas beliau, pengetua, guru besar serta guru di sekolah berprestasi tinggi turut berpeluang menikmati pelbagai insentif daripada kerajaan bagi membakar semangat mereka mencipta kejayaan yang lebih tinggi.

''Justeru, saya mahu melihat sebahagian besar sekolah di negeri ini mencapai taraf berprestasi tinggi," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian Anugerah Akademik Terbilang Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2009 di Klana Resort dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan Sijil Anugerah Akademik Terbilang kepada seramai 199 pengetua serta guru besar sekolah-sekolah di sekitar negeri ini.

Dalam pada itu, beliau meminta pengetua dan guru besar khususnya di sekolah-sekolah luar bandar sentiasa mengenal pasti pelajar-pelajar yang berpotensi mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Katanya, tindakan itu perlu agar bakat pelajar-pelajar terbabit dapat digilap dan seterusnya dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

Utusan Malaysia Online: 2 November 2009

Tiada ulasan: