Isnin, 16 November 2009

Guru j-QAF di Sarawak tertekan tak dapat tukar ke Semenanjung

SAYA guru j-QAF ambilan Januari 2006 yang ditempatkan di Sarawak. Saya menyokong sepenuhnya luahan ‘Jefri’ dalam ruangan ini bertarikh 12 November lalu bertajuk ‘Guru tinggal berjauhan dengan suami dua tahun’ dan tulisan ‘Mualim Borneo, Sarawak’ Jumaat lalu bertajuk ‘Guru j-QAF Sabah, Sarawak mahu keadilan’.

Permohonan pertukaran saya nampaknya tidak diluluskan, mungkin memandangkan belum cukup 36 bulan atau tiga tahun ditempatkan di Sarawak selepas tamat Kursus Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) selama setahun enam bulan di Institut Perguruan di Sarawak. Bererti saya sudah berada di Bumi Sarawak, masuk tahun keempat.

Sudah empat tahun saya berumahtangga dan mempunyai seorang anak berumur dua tahun lebih. Kami terpaksa tinggal berjauhan kerana saya bekerja di Sarawak dan isteri saya bekerja di Terengganu, bumi yang dirindui.

Kami terpaksa merancang keluarga supaya tidak mendapat anak kedua memandangkan kami berjauhan apatah lagi pengalaman kami mempunyai seorang anak cukup perit dan menekankan saya. Apa tidaknya, bila saya pulang ke Semenanjung, anak saya tidak mengenali saya.

Apabila saya menghampirinya dan mendukungnya, dia menangis, tidak mahu bersama saya.

Saya terpaksa mengambil masa tiga hari untuk mendekatinya supaya dia mengenali saya. Apabila hubungan kami erat, sekali lagi saya terpaksa meninggalkannya untuk pergi ke Sarawak.

Begitulah berlaku setiap tahun. Bapa mana tidak sedih dan tertekan dengan keadaan ini, lebih-lebih lagi apabila mendengar berita isteri atau anak sakit di Semenanjung.

Saya rasa terkilan dengan jabatan dan Kementerian Pelajaran, kenapa kami guru j-Qaf ambilan Januari 2006 tidak dapat mengisi borang on-line E-Tukar walaupun kami sudah ditempatkan semula di sini hampir tiga tahun.

Namun, guru baru (selain guru j-QAF) ditempatkan di sini pada 2009 tetapi belum sampai setahun dan belum disahkan jawatan, mereka dapat mengisi borang on-line E-Tukar dan permohonan pertukaran mereka kebanyakannya diluluskan.

Saya tertanya-tanya adakah surat pekeliling penempatan guru j-QAF dan guru lain dari Semenanjung di Sarawak ini berlainan?

Saya hanya dapat mengisi borang pertukaran manual saja, itupun borang saya sampai di JPN saja.

Saya tidak kisah sekiranya saya tidak dapat mengisi borang on-line E-Tukar asalkan permohonan saya itu dipertimbangkan, memandangkan saya sudah lampirkan bersama permohonan itu surat doktor yang menyatakan saya sakit, salinan surat isteri bekerja di Semenanjung dan sudah disahkan serta disokong ketua jabatan saya.

J-QAF SARAWAK TERTEKAN,

Sarawak.

Berita Harian Online: 16 November 2009

Tiada ulasan: