Oleh Ziauddin Sharuddin dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my
GEORGETOWN: Kementerian Pelajaran mengarahkan semua kaunselor sekolah supaya mengemas kini data kesihatan pelajar dengan menyenaraikan penyakit berkaitan organ dalam badan serta tahap tekanan murid.
Ketika ini, dokumen kesihatan pelajar yang disimpan serta dikemas kini oleh kaunselor sekolah hanya membabitkan penyakit kronik seperti penyakit jantung dan kecacatan anggota badan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata arahan itu dikeluarkan bagi mengelak kes membabitkan seorang murid Tahun Tiga, Chan Qi Xian yang meninggal dunia selepas dirotan, berulang pada masa depan.
"Maklumat tepat penyakit pelajar terutama berkaitan penyakit membabitkan organ dalaman dan tekanan mereka boleh menjadi petunjuk kepada guru dalam mengendalikan aktiviti atau menghukum pelajar," katanya ketika dihubungi, semalam.
Rabu lalu, Chan, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Tiong, Gemas, Negeri Sembilan, meninggal dunia kira-kira 15 jam selepas dirotan di tapak tangan oleh seorang guru.
Kelmarin, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, dilaporkan berkata hasil bedah siasat menunjukkan Chan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak.
Alimuddin berkata, guru dan ibu bapa juga diminta membantu kaunselor sekolah dengan memberitahu mengenai keadaan seseorang murid supaya dokumen kesihatannya dapat dikemas kini.
"Ibu bapa harus tampil dengan membantu jika anak mereka mempunyai masalah kesihatan berkaitan organ dalaman kerana mereka lebih mengetahuinya. Jangan sehingga berlaku masalah baru hendak beritahu.
"Guru juga tidak terkecuali... saya minta mereka memerhatikan anak murid dan jika ada sindrom tekanan ketika sesi pembelajaran, terus laporkan kepada kaunselor supaya pemeriksaan dapat dilakukan," katanya.
Jelasnya, pemantauan kesihatan oleh kaunselor sekolah saja tidak mencukupi kerana jumlah pelajar yang ramai dan peranan oleh ibu bapa serta guru cukup penting dalam hal itu.
Di SEREMBAN: Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Muhammad, berkata tindakan seorang guru SJKC Kampung Tiong, merotan Chan tidak mempunyai kaitan dengan kematian mangsa berdasarkan hasil bedah siasat.
Malah, katanya guru berkenaan ketika ditemui memberitahu bahawa dia hanya memegang rotan di bahagian tengah dan merotan dengan perlahan.
"Rotan hanya akan menyakitkan jika dipegang pada bahagian pangkal dan dihayun dengan kuat. Bagaimanapun, guru berkenaan merotan sekadar mengenai tapak tangannya. Selain murid berkenaan, seorang murid lain dirotan pada masa yang sama," katanya di sini, semalam.
Abdullah berkata, ketika ini guru memang tidak dibenarkan merotan, tetapi langkah Kementerian Pelajaran mengkaji semula larangan itu dan membenarkan semula guru merotan mungkin menyebabkan guru yang bimbang kes seperti murid berkenaan berulang tidak mahu melakukannya.
Katanya, kes itu tidak boleh dijadikan rujukan dan sebaliknya guru perlu bertindak, termasuk merotan dengan syarat dilakukan mengikut peraturan untuk menangani masalah disiplin di sekolah.
Berita Harian Online: 4 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan